Search

PRN17: UMNO bukan lagi ‘abang besar’ – Nizam

June 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO disifatkan bukan lagi sebuah parti yang boleh dipanggil sebagai ‘abang besar’ dalam kancah politik Sabah ketika ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kedudukan itu perlu disedari pemimpinnya.

“Di peringkat nasional, mereka semakin tenggelam dalam kehilangan sokongan dan di Sabah, rakyat sudah serik dengan skrip lama yang hanya berubah pelakon tetapi tidak jalan cerita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian dalam maklum balasnya terhadap kenyataan Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berhubung isu kerjasama BN-GRS.

Pada Selasa Musliati menegaskan tiada lagi ruang untuk kerjasama politik dengan GRS atau Gagasan Rakyat bagi menghadapi PRN17 kerana UMNO bukan parti pelengkap yang boleh digunakan sebagai alat politik dan diperdaya dengan janji palsu.

Musliati mengungkit sejarah kerjasama UMNO dengan GRS pada PRN16 yang memperlihatkan pengkhianatan terhadap parti itu selepas menyumbang kemenangan dan pembentukan kerajaan baharu negeri.

Mengulas mengenai isu itu, Nizam mendakwa UMNO-BN lebih awal memungkiri perjanjian dan prinsip moral dalam kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Katanya, hanya dua hari sebelum hari penamaan calon PRN16, UMNO-BN bersetuju untuk bertanding di 27 kerusi, namun ketika tiba hari penamaan calon, ia bertanding di 41 kerusi.

Beliau menyifatkan tindakan itu bukan saja melanggar persefahaman tetapi mengundang kekeliruan dan keretakan awal dalam gabungan GRS-BN yang dibentuk bagi menghadapi PRN16 ketika itu.

“Atas sebab itu, jika ingin bercakap soal ‘maruah’ dan ‘pengkhianatan’, UMNO wajar terlebih dahulu memandang cermin sejarahnya sendiri.

“UMNO juga masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam gabungan parti-parti politik, parti yang memiliki jumlah kerusi tertinggi memiliki keutamaan untuk menjadi ketua gabungan.

“GRS yang dianggap sebagai parti-parti serpihan oleh Musliati, berjaya memiliki bilangan kerusi tertinggi dan seterusnya memiliki keutamaan untuk memilih Ketua Menteri Sabah.

“Ini bukan satu pengkhianatan, tetapi asas demokrasi yang sebenar,” katanya

Nizam berkata, di sebalik apa yang dikatakan EXCO Wanita UMNO itu, ironinya, ia datang dari parti yang mempunyai sejarah panjang dalam menulis skrip politik yang penuh kelompongan, termasuk di Sabah.

Lebih mengejutkan, katanya Musliati langsung tidak menyentuh insiden ‘Langkah Kinabalu’ yang berlaku pada Januari 2023, apabila beberapa pimpinan UMNO Sabah termasuk ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin terbabit dalam cubaan menggulingkan kerajaan sedia ada.

“Tindakan Datuk Bung Moktar dan beberapa pimpinan UMNO bukan saja menggugat kestabilan negeri, malah memperjudikan mandat rakyat.

“Tindakan menggugurkan mereka daripada Kabinet dan jawatan dalam agensi adalah prerogatif Ketua Menteri, demi menjaga kestabilan dan kepentingan negeri,” katanya.

Jelasnya, kerajaan GRS hari ini memilih untuk fokus ke hadapan, menjalin kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) demi menjamin kestabilan pasca PRU15 dan menjelang PRN17.

“Akhirnya, kuasa sebenar tidak terletak di tangan mana-mana tokoh, parti mahupun propaganda, tetapi di tangan rakyat. Biarlah rakyat Sabah menilai, siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai berdrama,” katanya. – Info X