RANAU: Seorang wanita kerugian sebanyak RM4,210 selepas terpedaya dalam urusan pembelian barang kemas menerusi platform Telegram.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian bermula apabila mangsa dari Ranau tertarik dengan tawaran harga emas yang sangat murah melalui Telegram, pada 6 Mei lalu.
Katanya, mangsa yang tertarik kemudian membuat beberapa transaksi sebanyak RM4,210.
“Selepas bayaran dibuat, suspek meminta lagi bayaran tambahan yang mencurigakan sebelum mangsa sedar dia telah ditipu.
“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau semalam berhubung penipuan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Tindakan lanjut seperti permohonan data Telco dan forensik digital akan diambil untuk mengesan dan menangkap suspek.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hubungi balai polis berdekatan,” katanya.
Sehubungan itu, Mursalin meminta orang ramai supaya sentiasa waspada dengan tawaran harga yang terlalu murah di media sosial.
“Jangan mudah terpedaya dan sentiasa buat semakan sebelum membuat pembayaran,” katanya. – Info X