Search

PRN17: Umum projek saat akhir strategi politik zaman batu, kata Bung Moktar

March 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan pengumuman projek dibuat kerajaan ketika Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) semakin hampir sebagai taktik ‘zaman batu’ yang tidak lagi relevan pada masa ini.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pendekatan lama itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri ketika ini benar-benar serius menyelesaikan masalah rakyat atau sekadar memancing undi.

Beliau mempersoalkan keseriusan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyelesaikan masalah utama rakyat Sabah, khususnya isu bekalan air, elektrik, jalan raya, dan infrastruktur asas yang masih membelenggu negeri ini.

“Sejak mengambil alih pentadbiran negeri, masalah-masalah ini tidak menunjukkan penyelesaian yang konkrit, malah terus berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat dan sektor ekonomi Sabah.

“Namun, menjelang beberapa bulan sebelum PRN, kerajaan negeri tiba-tiba aktif mengumumkan pelbagai projek sana sini. Apakah ini satu usaha tulen untuk membangunkan Sabah atau sekadar strategi lama untuk memancing undi?

“Taktik mengumumkan projek saat akhir adalah strategi politik zaman batu yang tidak lagi relevan di era kini. Rakyat Sabah bukan mudah diperdaya dengan janji manis, lebih-lebih lagi apabila mereka masih berdepan kesulitan mendapatkan kemudahan asas yang sepatutnya sudah lama diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, jika kerajaan negeri benar-benar serius, penyelesaian masalah air, elektrik dan jalan raya sepatutnya sudah lama menjadi keutamaan, bukan hanya dijadikan modal politik menjelang pilihan raya.

“UMNO Sabah menegaskan bahawa rakyat Sabah mahukan tindakan yang nyata, bukan sekadar pengumuman megah yang akhirnya tinggal janji kosong.

“Kerajaan negeri harus bersikap telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dengan polisi dan pelaksanaan yang berkesan, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah akan terus bersuara dan memperjuangkan hak rakyat Sabah agar negeri ini tidak terus ketinggalan dalam pembangunan yang sepatutnya dinikmati semua. – Info X