Alias Abdullah
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan taktik dan cabaran baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam persaingan parti politik untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.
Paling mencabar ialah penularan video yang didakwa mempunyai unsur rasuah membabitkan ramai pemimpinnya dalam isu permohonan lesen cari gali mineral, dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan dari Semenanjung.
Modus operandi rakaman video ‘bersiri’ yang jelas dirancang untuk ‘mengenakan’ seramai mungkin pemimpin mewakili kerajaan pimpinan GRS sejak kira-kira setahun lalu, pertama kali berlaku dalam sejarah politik Sabah, malah di Malaysia.
Meskipun dinafikan pemimpin yang didakwa terbabit dalam isu itu dan melawannya di mahkamah setelah didakwa, namun GRS tetap terpalit berikutan tindakan pihak lawan yang cuba mempolitikkan perkara berkenaan bagi mendapatkan ‘manfaat politik’ menjelang PRN17.
GRS umpama dikepung dengan tindakan pihak luar yang disifatkan penyokongnya sebagai cubaan membunuh karektor politik pemimpinnya dan menjatuhkan kredibiliti gabungan parti tempatan itu sebagai pemerintah yang berintegriti.
Bagi pemimpin dan penyokong GRS, penyebaran video dan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpinnya adalah satu rancangan jahat yang disengajakan setelah hasrat untuk mendapatkan lesen cari gali mineral tidak diluluskan Ketua Menteri.
Mereka menyifatkan tindakan merakam video menggunakan alat perakam tersembunyi seperti didedahkan pelaku kes itu sendiri sebelum ini jelas menggambarkan niat sebenarnya yang lebih bermotif politik berbanding unsur rasuah itu sendiri.
Ada yang berpendapat, jika dakwaan unsur rasuah itu benar, tindakan sewajarnya adalah di tangan pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan video yang dianggap sebagai bukti itu sepatutnya dikemukakan kepada agensi itu.
Ramai berpandangan tindakan menyebarkan video melalui portal berita sebelum ia tular di pelbagai platform media sosial jelas menunjukkan niat pelakunya yang mahu memalukan pemimpin yang dirakam dalam video.
Pelaku terbabit juga jelas mempunyai niat jahat terhadap kerajaan GRS keseluruhannya berikutan isi kandungan video itu yang menceritakan ‘kisah’ dialami pelaku terbabit dalam usahanya untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Niat itu jelas berikutan ‘modus operandi’ yang digunakan pelaku rakaman video itu sama dalam semua video yang ditularkan sebelum ini, membabitkan pemimpin GRS, umpama satu ‘serangan hendap’ terhadap pemimpin dan kerajaan GRS.
Sasaran terbaharu, Presiden STAR yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, videonya muncul baru-baru ini setelah tiga individu sudah didakwa berkaitan kes rasuah yang dikaitkan dengan beberapa video sebelum ini.
Pada Selasa lalu dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, termasuk seorang ADUN UMNO yang digantung keahlian kerana menyokong GRS dan seorang ahli perniagaan hadir di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu bagi sebutan semula kes masing-masing.
Dalam video yang disebarkan melalui sebuah portal berita, baru-baru ini, seorang ahli perniagaan mengadu kepada Jeffrey mengenai pembatalan permohonan lesen cari gali dan kerugian jutaan ringgit yang dialaminya, kononnya selepas diberikan kepada beberapa pemimpin STAR.
Meskipun tidak dijelaskan tujuan rakaman video yang dibuat secara rahsia itu, sesiapapun boleh ‘membaca’ apa yang cuba disampaikan oleh pelaku yang merakam dan menyebarkan video berkenaan.
Dalam maklum balasnya seperti dilaporkan media, Jeffrey menyifatkan video terbaharu ahli perniagaan yang mengaitkannya dengan skandal perlombongan sebagai satu perangkap.
Beliau juga menjelaskan tidak begitu mengingati perbualan antara beliau dengan ahli perniagaan terbabit dan terkejut apabila perbualan itu dirakam secara peribadi dan dipaparkan secara terbuka ada kaitan dengan skandal perlombongan.
“Video itu adalah mengenai sumbangan politik beberapa tahun lalu sebelum pilihan raya tanpa sebarang petunjuk resit, tidak seperti skandal perlombongan sebelum ini.
“Ia hanyalah satu perangkap untuk mengaitkan kami dengan skandal perlombongan, yang tidak ada kaitan dengan saya atau ADUN STAR,” katanya seperti dilaporkan sebuah media nasional sebelum ini.
Persoalannya, adakah GRS terjejas dengan tindakan itu, lebih-lebih lagi parti lawan yang tidak sehaluan dengan kerajaan pimpinan Hajiji mengambil kesempatan menjadikan video berkenaan sebagai modal politik untuk menghentam kerajaan.
Bagi parti pembangkang, kemunculan video seumpama itu dan dakwaan rasuah yang ditimbulkan terhadap pemimpin GRS sudah tentu satu ‘berita baik’ buat mereka untuk melemahkan kedudukan GRS dalam perlumbaan membentuk kerajaan baharu melalui PRN17.
Sebelum ini, Ketua Menteri sudah menjelaskan ketegasannya dalam soal menangani rasuah dan menyerahkan kes yang dikaitkan dengan jenayah berkenaan kepada pihak berkuasa, khususnya SPRM.
Beliau juga menegaskan tiada yang dilindungi dan disembunyikan dalam siasatan pihak berkuasa itu setelah beberapa siri video didakwa mempunyai perbualan berunsur rasuah membabitkan beberapa ADUN disebarkan di portal berita.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyebut mengenai berita baharu unsur rasuah membabitkan pemimpin Sabah yang katanya diambil tindakan segera SPRM.
Walaupun tidak menyebut nama pemimpin yang dikaitkan dengan berita terbabit, semua pasti dapat mengagak siapa yang dimaksudkannya.
Beliau yang menyentuh perkara itu pada program PKR di Kampung Kobuni, Inanam menegaskan pendiriannya tidak berkompromi terhadap sebarang perbuatan berunsur rasuah.
Bagi beliau semua dakwaan rasuah mesti disiasat SPRM tanpa campur tangan sesiapa, tidak kira sama ada ia disusuli tindakan selanjutnya atau tidak, sejajar dengan peruntukan undang-undang.
Apa yang berlaku kini membuka mata semua pihak mengenai kecanggihan teknologi dan alat digital yang boleh digunakan sebagai senjata untuk mengenakan pihak tertentu.
Sebelum ini, penggunaan surat layang, khabar angin, propaganda secara lisan dan tulisan digunakan secara meluas bagi tujuan itu, namun kini alat digital dengan gabungan teknologi internet dan telekomunikasi menjadikan apa saja boleh disebarkan dengan mudah.
Pastinya juga, sesiapa saja, terutama orang politik kini lebih berhati-hati berikutan kemungkinan ada pihak cuba mengenakan mereka dengan merakam perbualan atau video secara rahsia.
Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan bukan menggambarkan pendirian rasmi Info X.