Search

PRN17: Wanita, Beliawanis Gagasan Rakyat Petagas ambil langkah mantapkan jentera

February 22, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Sayap Wanita dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas mula memantapkan persiapan jentera masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir.

Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menerusi penganjuran Kursus Pemantapan Kerja Lapangan yang membabitkan ahli dari kedua-dua sayap Gagasan Rakyat Petagas itu.

Kursus sehari yang disertai seramai 30 ahli Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Petagas itu dirasmikan Ketua Bahagiannya, Mohd Isquzawan Israq Arsit, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Isquzawan mahu jentera sayap parti yang menumpukan kepada golongan wanita itu bersiap sedia menghadapi PRN17 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Beliau turut meminta agar semua jentera parti turun padang menyantuni masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas bagi mendekatkan lagi parti itu kepada pengundi.

Isquzawan menyampaikan ucapan pada Kursus Pemantapan Kerja Lapangan Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat Petagas.

“Alhamdulillah pada hari ini saya menyempurnakan Kursus Pemantapan Kerja Lapangan bagi sayap Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat yang disertai seramai 30 orang ahli.

“Program ini antara lain menekankan persiapan jentera Wanita dan Beliawanis menghadapi pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.

“Selain itu saya juga meminta ahli khususnya di kawasan Petagas supaya kerap turun padang bagi menyantuni ahli parti dan masyarakat setempat keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut berharap agar kursus yang diadakan itu dapat memberi impak yang baik kepada peserta yang mewakili enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Petagas.

PDM terbabit ialah Bandar Baru Putatan, Petagas, Tengah Padang, Tombovo, Papason dan Ulu Putatan. – Info X