Search

Lelaki cabul anak saudara ditahan polis

February 23, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas didakwa mencabul anak saudara perempuannya yang berusia 14 tahun.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai sebaik menerima laporan daripada ibu mangsa, pada jam 2.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 9 pagi, pada 21 Februari lalu, ketika mangsa sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah neneknya.

“Suspek didakwa datang mendekati mangsa lalu meraba bahagian badannya secara paksa. Walaupun dihalang oleh mangsa, suspek meneruskan perbuatannya itu sebelum keluar dari rumah berkenaan.

“Mangsa yang merasa ketakutan memberitahu kepada ibunya sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis berjaya mengesan dan menangkap suspek terbabit berhubung kes cabul yang dilaporkan.

“Suspek warga tenpatan kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan,” katanya. – Info X