Search

RM6.15 bilion nilai projek pembangunan KKDW di Sabah tahun ini

February 23, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Kerajaan memperuntukkan RM6.15 bilion untuk pembangunan di Sabah melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Sabah turut tersenarai antara penerima tertinggi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), iaitu melebihi RM1 bilion setiap tahun.

Katanya, peruntukan besar itu menunjukkan komitmen kerajaan Pusat bagi membantu kerajaan negeri dan rakyat Sabah untuk menikmati pembangunan dan kesejahteraan.

“Pada tahun ini, di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) RMKe-12, daripada RM7.49 bilion peruntukan pembangunan KKDW, sebanyak RM1.11 bilion atau 14.8 peratus diperuntukkan kepada Sabah melibatkan sebanyak 317 projek.

“Komitmen ini akan berterusan selagi wujudnya kerjasama dan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid menyerahkan peruntukan program pembangunan usahawan di Tawau.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, KKDW juga memperuntukkan RM18.78 juta bagi pembangunan di Tawau merangkumi pelaksanaan pelbagai projek kemudahan awam, infrastruktur perhubungan dan utiliti desa.

Antara projek utama yang dilaksanakan di Tawau, katanya ialah pembinaan Jalan Luar Bandar (JALB) dan Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM5.67 juta.

Ahmad Zahid merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau.

“Selain itu, inisiatif Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Sabah masih diteruskan bagi membantu golongan yang berkelayakan.

“Sebanyak 3,791 unit rumah diluluskan di bawah program ini iaitu 869 unit Bina Baharu dan 2,922 unit Baik Pulih membabitkan kos RM132.31 juta,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembangunan penempatan baharu dan penyusunan semula kampung sedia ada secara terancang yang dilengkapi kemudahan asas dan ameniti sosial akan dilaksanakan di Sabah menerusi tiga Projek Pemajuan Kawasan (PPK) dengan kos projek sebanyak RM166 juta.

“Bagi tahun 2025, sebanyak RM5.43 juta telah diperuntukkan bagi melancarkan pelaksanaan projek ini yang akan memberi manfaat kepada 3,500 penerima di sekitar Sabah,” katanya.

Mengenai program hari ini, Ahmad Zahid berkata ia bertepatan dengan usaha membantu semua usahawan di daerah ini mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Ahmad Zahid melawat gerai usahawan sempena Program Sentuhan Kasih Desa @ Tawau.

Katanya, KKDW memperuntukkan sebanyak RM6 juta pada tahun ini untuk pembangunan dan pemerkasaan usahawan desa melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

“Melalui SPKLB ini, usahawan berpeluang mendapatkan kemudahan sokongan bagi memperkukuh, mengembangkan perniagaan dan membangunkan produk serta perkhidmatan bagi tujuan pemasaran yang lebih luas.

“KKDW juga sentiasa melipatgandakan usaha bagi membantu usahawan desa meningkatkan kualiti produk dan prestasi agar usahawan desa dapat beralih kepada kategori Mikro dengan jualan sehingga RM300,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di Tawau boleh berhubung dengan agensi KKDW yang menyediakan program dan inisiatif keusahawanan bagi memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan. – Info X