Search

Selesaikan kompaun JPJ sepanjang tawaran kadar rata khas

February 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Orang awam yang masih belum menyelesaikan kompaun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disarankan mengambil peluang menyelesaikan bayaran tertunggak dengan kadar rata khas RM150 sebelum tarikh akhir.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, memperkenalkan inisiatif itu sejak 2 Januari lalu dan akan berakhir pada 30 Jun tahun ini.

Katanya, sejak diperkenalkan bulan lalu, lebih 150,000 kompaun bernilai hampir RM24 juta dijelaskan.

“Jumlah itu dijangka akan meningkat sekiranya pesalah trafik mengambil peluang ini untuk menyelesaikan kompaun mereka.

“Sehingga 21 Februari, JPJ menerima bayaran berjumlah RM23,750,2570 daripada 158,121 kompaun sejak pengenalan kadar rata khas ini,” katanya pada sidang media semasa Operasi Gempur Teknikal, di Jalan UMS, di sini, semalam.

Muhammad Kifli berkata, pengguna jalan raya juga digalakkan untuk menyemak status bagi memastikan sama ada mempunyai kompaun atas nama mereka.

“Jika ada, mereka harus mengambil peluang ini untuk menyelesaikan semua bayaran tertunggak,” katanya.

Muhammad Kifli (dua dari kanan) melakukan pemeriksaan kenderaan ketika Operasi Gempur Teknikal, di Jalan UMS, Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan JPJ menawarkan bayaran kompaun khas kadar rata RM150 bagi tiga jenis kesalahan selama tempoh enam bulan.

Bayaran kompaun khas ini meliputi notis saman tertentu, iaitu kesalahan memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat yang dirakam oleh sistem kamera AwAS, Notis 114 dan Notis 115.

Muhammad Kifli berkata, berikutan jangkaan peningkatan bayaran oleh pesalah trafik, Kifli berkata, JPJ telah menyediakan pelbagai saluran pembayaran seperti kaunter, portal awam dan aplikasi mudah alih untuk pengguna jalan raya membuat bayaran.

Sementara itu, mengulas berhubung operasi Gempur Teknikal, Muhammad Kifli berkata, sebanyak 47,021 kenderaan komersial telah diperiksa dalam Operasi Khas Gempur Teknikal yang dilancarkan sejak 15 Februari dan dijangka berakhir pada 28 Februari tahun ini.

Katanya, operasi itu bertujuan untuk memperketatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan komersial yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Daripada 47,021 kenderaan yang diperiksa di seluruh Malaysia, 41,475 adalah kenderaan barangan dan 5,546 adalah pengangkutan awam.

“Pemeriksaan ini membawa kepada pengeluaran sebanyak 14,881 notis atas pelbagai kesalahan.

“JPJ juga telah mengambil tindakan terhadap 5,969 kenderaan dan menyita 34 kenderaan susulan pelanggaran peraturan lalu lintas,” katanya.

Menurutnya, JPJ memandang serius kesalahan kenderaan komersial berikutan peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkannya masih berada pada tahap membimbangkan.

“Oleh itu, kami akan terus meningkatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap kenderaan-kenderaan ini.

“Daripada tindakan yang diambil, lebih 3,000 kenderaan komersial didapati gagal mematuhi peraturan lalu lintas, termasuk kegagalan menyelenggara kenderaan dan tayar yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. – Info X