Search

PRN17: UMNO buka pintu kerjasama, tapi mahu dominan

February 23, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti pimpinannya tidak menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Katanya, UMNO sedia bekerjasama dengan pihak yang boleh memberikan keuntungan politik kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara paling penting adalah UMNO perlu dominan di Sabah dan menang pada PRN nanti.

“Kepentingan rakyat Sabah harus didahulukan, walaupun UMNO telah diuji pada 2018, namun parti ini masih bertahan sehingga ke hari ini.

“BN dan UMNO jangan risau mahu gabung dengan mana-mana parti, kita harus buka pintu yang penting kita harus dominan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34 di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid merasmikan sambutan ulang tahun ke-34 UMNO Sabah.

Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan keyakinannya kepada kepemimpinan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar yang menerajui parti itu di Sabah.

“Saya yakin Bung Moktar akan menerajui parti ini dengan baik dan menang secara dominan pada PRN Sabah akan datang,” katanya.

Sementara itu, pada sidang medianya, Ahmad Zahid berkata beliau sudah bertemu dengan semua Ketua Bahagian UMNO dan ketua sayap di Sabah untuk menyampaikan beberapa amanat berkaitan persiapan PRN17. – Info X