TUARAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kampung Lakang, Jalan Berunggis, Tamparuli, di sini, petang tadi.
Nahas berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 28 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.35 petang.
Katanya, setiba pasukan bomba di lokasi didapati kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukannya (SUV) jenis Perodua Aruz terbabas sendiri melanggar besi penghadang jalan.
“Terdapat seorang mangsa terbabit tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan jam 7.05 malam,” katanya. – Info X