TUARAN: Tiga lelaki termasuk dua beradik berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai di Jalan Kampung Sawah, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 43 cedera ringan manakala adiknya berusia 32 dan rakan mereka berusia 26 tahun berjaya keluar dari kenderaan pacuan empat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.23 malam.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabas ke dalam sungai.

“Dilaporkan terdapat tiga mangsa terbabit. Seorang mangsa yang cedera ringan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberi rawatan oleh pegawai perubatan dan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Manakala sua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 12.02 tengah malam,” katanya. – Info X