KOTA KINABALU: Seorang pensyarah berstatus profesor di sebuah universiti di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu membabitkan dana penyelidikan berjumlah lebih RM66,000.
Sumber berkata, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 10 pagi, hari ini.
Katanya, suspek terbabit dipercayai mengemukakan tuntutan palsu pada 2014 hingga 2017 ketika bertugas sebagai pengarah institut di universiti berkenaan.
“Difahamkan, tuntutan palsu tersebut melibatkan dana penyelidikan namun tiada perbelanjaan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan seorang penjamin.
“Suspek juga dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat ini,” katanya. – Info X