KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Peruntukan Diraja 1963.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menyatakan mesyuarat jemaah menteri pada 2 Mac lalu sudah meluluskan pelarasan emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah meliputi saraan peribadi, elaun keraian dan elaun wilayah.
“Emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah ini tidak pernah disemak selama 19 tahun iaitu kali terakhir semakan pada tahun 2003.
“Tempoh ini agak lama sekiranya dibandingkan dengan emolumen Yang di-Pertua Negeri dari negeri lain, misalnya negeri Sarawak yang telah dibuat pelarasan pada tahun 2013.
“Oleh itu, adalah bertepatan emolumen Yang di-Pertua Negeri Sabah disemak semula dan diselaraskan mengikut kehendak semasa,” katanya.
Terdahulu, RUU berkenaan bagi meminda untuk menaikkan saraan peribadi Yang di-Pertua Negeri daripada RM215,280 setahun kepada RM301,392 setahun, elaun keraian daripada RM152,490 setahun kepada RM213,486 setahun dan elaun wilayah daripada RM44,850 setahun kepada RM62,790. –Info X