Search

Program UMNO masih dapat sambutan rakyat Sabah

March 14, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Sambutan masyarakat terhadap program membantu rakyat yang dianjurkan UMNO di Sabah membuktikan rakyat negeri ini masih menyayangi parti itu.

Ketua UMNO Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, berkata ia terbukti setiap kali ada program dianjurkan UMNO, sambutan masyarakat amat menggalakkan.

Katanya, sebagai parti berjiwa rakyat, UMNO sentiasa meletakkan komitmen terhadap usaha untuk membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, agama dan parti.

“Kita melaksanakan program peduli rakyat ini tanpa musim, berbanding parti parti lain melaksanakanya kerana tujuan tertentu terutamanya menjelang pilihan raya baru turun padang membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program gunting rambut percuma dan penyampaian sumbangan peralatan sekolah di perkarangan Pejabat UMNO Keningau, baru-baru ini.

Katanya, program membantu rakyat yang dilaksanakan UMNO itu memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar dan golongan B40 untuk mengurangkan beban kewangan mereka menjelang pembukaan musim persekolahan.

Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah berkata, program seperti itu juga dapat merapatkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Jelasnya, UMNO mesti bergerak dan melaksanakan gerak kerja hingga ke akar umbi bagi memastikan parti itu hidup dalam masyarakat.

“Gerak kerja yang dilaksanakan UMNO amat penting, bukan hanya melibatkan program yang berskala besar tetapi pendekatan turun padang termasuk menyantuni mereka yang kesusahan, uzur dan yang ditimpa musibah perlu diteruskan setiap masa,” katanya. – Info X