Search

D9 JSJ berkas buruh kasar terbabit kes pecah masuk stesen minyak, kedai elektrik

March 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis berjaya menyelesaikan dua kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik susulan penahanan seorang lelaki di hadapan stesen minyak di Jalan Tugu, Kampung Air, di sini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 3.30 petang.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima laporan sebuah stesen minyak di Batu 1, Jalan Tuaran, di sini, dipecah masuk oleh individu tidak dikenali, baru-baru ini.

Barang rampasan susulan penahanan suspek terbabit kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik.

Katanya, suspek melarikan barang-barang dalam premis berkenaan termasuk ‘safe box’, telefon bimbit, rokok dan wang tunai.

“Hasil siasatan, pasukan serbuan D9 berjaya mengesan suspek dan menahannya kerana dipercayai terbabit dalam jenayah pecah rumah.

“Soal siasat awal dijalankan dan suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk stesen minyak di Jalan Tuaran, di sini.

“Barang-barang yang dicuri telah dijual kepada beberapa individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suspek pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik ditahan pasukan D9 JSJ Sabah di Kota Kinabalu.

Azmi berkata, beberapa barangan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah turut dirampas.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mengaku terbabit dalam kes pecah masuk kedai elektrik di Tenom.

“Pasukan serbuan kemudian menahan dan merampas barangan sebelum membawa suspek ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan kemungkinan suspek turut terbabit dalam kes jenayah lain di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya. – Info X