Search

Tuaian tanaman di Sabah dijangka merosot akibat el-nino

March 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengusaha tanaman di Sabah dijangka berdepan penurunan kadar tuaian berikutan penyusutan jumlah hujan disebabkan fenomena el-nino yang melanda negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata penilaian Jabatan Pertanian Sabah mendapati penurunan hujan sejak Januari lalu mula memberi kesan terhadap agronomi tanaman dan pengurusan tanah.

Situasi itu katanya menyebabkan pertumbuhan tanaman, pembungaan dan pembentukan buah terjejas sekali gus boleh mengakibatkan penurunan kadar tuaian dalam jangka masa panjang.

“Selain itu, peningkatan suhu akibat cuaca panas mempercepatkan pemeluawapan air dalam tanah sekali gus menyebabkan tanah menjadi kering, menurunkan kelembapan tanah dan menghalang pertumbuhan akar.

“Ini memberi kesan terhadap penyerapan nutrien dan air yang diperlukan untuk pertumbuhan tanaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas kesan yang dihadapi sektor pertanian dan perikanan di Sabah berikutan cuaca panas yang melanda negeri ini sekarang.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu, berkata kekurangan air yang menjejaskan pertumbuhan tanaman untuk haiwan ternakan juga dijangka memberi kesan kepada sektor ternakan di Sabah.

Bagi sektor penanaman getah, pengeluaran komoditi itu dijangka menurun sepanjang musim panas dan kering ini disebabkan pengurangan aktiviti ladang.

Berdasarkan laporan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), katanya penanaman getah baharu terpaksa dihentikan, manakala aktiviti pembajaan dan menoreh dikurangkan bagi mengelak kematian pokok.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini sektor perikanan di Sabah belum terjejas akibat fenomena el-nino, namun pengusaha akuakultur air tawar dijangka berdepan kekurangan air untuk meneruskan aktiviti.

“Bagaimanapun, situasi panas dan kering yang berpanjangan boleh menyebabkan kekurangan air untuk akuakultur dan memberi kesan kepada populasi air tawar.

“Kita juga belum menerima laporan mengenai kematian ikan atau kerugian yang signifikan dialami jawatankuasa ‘tagal’, namun jika cuaca kering berpanjangan, situasi mungkin menjadi buruk dan boleh menyebabkan kematian ikan,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey berkata beberapa langkah sudah dikenal pasti untuk menangani situasi el-nino di negeri ini termasuk mengurangkan kadar stok tanaman, menangguhkan aktiviti perladangan tertentu dan menggunakan varieti tanaman yang tahan kemarau.

Katanya, pengusaha akuakultur juga disaran mengurangkan kepadatan stok ikan yang diternak dan menghentikan sementara operasi bagi mengurangkan kerugian, jika perlu. – Info X