Search

Projek kapal janakuasa tambah bekalan elektrik di Sabah dibatalkan

November 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Projek penyewaan kapal janakusa (powership) berkapasiti 224 megawatt (MW) yang disasar untuk mempercepatkan penambahan bekalan elektrik di Sabah seperti dicadang sebelum ini sudah dibatalkan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata projek itu pada mulanya diluluskan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) Sabah pada 12 Jun lalu.

Beliau berkata, ia kemudian disusuli rundingan di antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Karpowership Global dari Turkiye selaku pemilik kapal janakuasa itu, namun gagal mencapai persetujuan.

“Berikutan itu, Lembaga Pengarah SESB membuat keputusan untuk menamatkan proses rundingan pada 15 September 2023 melalui surat makluman kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Karpowership Global.

“Seterusnya mesyuarat susulan mengenai keputusan itu diadakan di antara Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC); Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), ECoS, SESB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 20 September 2023 yang memutuskan pembatalan projek itu,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalah tambahan Datuk Annuar Ayub Aman (STAR – Liawan) mengenai perkembangan projek kapal janakuasa berkenaan.

Berikutan pembatalan projek itu, Nizam berkata ia kini digantikan dengan dua projek alternatif yang disasar dapat menambah keperluan bekalan tenaga elektrik di Sabah dalam jangka masa pendek.

“Pelan alternatif bagi menggantikan projek ialah meneruskan pelan interim penyewaan set janakuasa diesel berkapasiti 100 MW yang akan dilanjutkan operasinya sehingga 2025 berbanding perancangan asal hanya enam bulan.

“Kedua, projek pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 MW akan diawalkan operasinya tahun depan berbanding perancangan asal pada 2026,” katanya.

Berdasarkan perancangan asal, kapal janakuasa yang bakal ditempatkan di pantai timur Sabah itu dijadual beroperasi secara sewaan selama lima tahun bermula tahun ini hingga 2028. – Info X