Search

Masih ada 18,853 miskin tegar di Sabah

November 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah masih mempunyai seramai 18,853 miskin tegar berdasarkan senarai dalam sistem E-kasih yang dikeluarkan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) setakat 31 Oktober lalu.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ruddy Awah, berkata, jumlah itu mewakili 16.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ketua isi rumah (KIR) yang berdaftar dalam senarai E-kasih di negeri ini.

Katanya, jumlah itu masih tinggi dan mengakui kerajaan negeri berdepan beberapa cabaran dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang berlaku di Sabah menjelang akhir tahun ini.

“Antara cabaran utama dalam mencapai sasaran kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar di Sabah menjelang 31 Disember 2023 jumlah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem E-kasih terlalu ramai.

“Kedua, kedudukan miskin tegar yang berada di kawasan pedalaman menyukarkan mereka untuk menyertai program-peningkatan pendapatan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan,” katanya menjawab soalan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Gagasan Rakyat – Sebatik) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Hassan bertanya mengenai jumlah miskin tegar yang masih ada di Sabah ketika ini dan cabaran yang dihadapi kerajaan untuk membantu dan mengeluarkan mereka daripada status itu.

Sementara itu, Ruddy berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah negeri turut berdepan kekangan peruntukan dan ketidaksesuaian bantuan kepada golongan miskin tegar.

“Peruntukan agensi pemberi bantuan yang telah habis diguna pakai sepanjang tahun 2023 ini menyebabkan program bantuan yang bersesuaian untuk miskin tegar terpaksa dilaksanakan menggunakan peruntukan tahun depan.

“Selain itu, kriteria golongan miskin tegar yang tidak menepati kehendak bantuan, contohnya bantuan pertanian tetapi tidak memiliki tanah dan lain-lain juga memberi cabaran kepada kita.

Katanya, kedudukan golongan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem E-kasih yang majoritinya berumur lebih 64 tahun menyebabkan mereka kurang produktif dalam usaha mengubah status kehidupan.

Pada masa sama, katanya mentaliti miskin tegar yang enggan berhijrah dari tempat asal, selain tidak mempunyai kemahiran tertentu untuk kemajuan diri sendiri turut menjejaskan usaha membantu mereka.

“Selain itu, ada juga miskin tegar yang enggan bekerjasama untuk melaksanakan program yang dianjurkan,” katanya. – Info X