KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengesahkan sudah menerima wang pemberian khas sebanyak RM300 juta yang disalurkan kerajaan persekutuan kepada negeri ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata bayaran interim bagi tahun 2023 itu diterima pada Selasa lalu. “Suka saya maklumkan bahawa bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM300 juta untuk tahun 2023 telahpun kita terima sepenuhnya dua hari yang lepas (28 November 2023).
“Kerajaan negeri ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan persekutuan atas peningkatan bayaran interim tersebut.
“Kita yakin dan percaya bahawa Kerajaan Perpaduan yang sedang memerintah dan dengan semangat Malaysia Madani, tuntutan kerajaan negeri Sabah akan dihormati dan ditunaikan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 Sabah bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Menerusi satu kenyataan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bayaran pemberian khas mengikut kadar baharu untuk Sabah dan Sarawak itu sudah disempurnakan kelmarin.
Pada tahun lalu, kadar interim pemberian khas untuk Sabah ialah RM125.6 juta.
Kadar baharu RM300 juta itu yang berkuat kuasa mulai tahun ini dibuat selepas semakan amaun pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dipersetujui kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Ia sebagai penyelesaian interim sehingga semakan khas jangka panjang dimuktamadkan. Sementara itu, Masidi mengulangi pendirian kerajaan negeri untuk meneruskan tuntutan pengembalian 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.
Katanya, sejajar dengan pendirian itu, kerajaan negeri mengambil ketetapan bahawa tiada keperluan untuk merangka formula baharu bayaran hasil berkenaan, memandangkan ia sudah termaktub dalam perlembagaan.
“Seperti yang telah ditegaskan, kerajaan negeri akan terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih kerajaan persekutuan di Sabah. Justeru, tidak ada keperluan untuk kita merangka formula baharu,” katanya.
Dalam perbahasan Belanjawan 2024 Sabah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Isnin lalu, kerajaan negeri antaranya disaran supaya menyediakan formula yang boleh diterima jika tidak bersetuju dengam formula kerajaan Pusat. – Info X