Search

‘Tailong’ aktif pecah rumah akhirnya dicekup

November 30, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki digelar ‘tailong’ yang terbabit dengan beberapa kes pecah rumah di daerah ini akhirnya dicekup polis, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 32 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Tawau di sebuah stesen minyak Batu 3, Jalan Apas, di sini, menerusi Op Kesan, jam 10.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan laporan mengenai kegiatan yang dilakukan oleh suspek terbabit.

Katanya, sepasukan polis bertindak mengadakan operasi dan serbuan di lokasi keberadaan suspek seperti maklumat yang diterima.

“Ketika menjalankan pemerhatian di salah sebuah stesen minyak di Batu 3 Jalan Apas, pasukan serbuan mengesan seorang lelaki disyaki suspek yang dikenal pasti.

“Suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan ketika pemeriksaan dijalankan, sebelum berjaya ditangkap pasukan serbuan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Barang yang dirampas susulan penahanan suspek dikenali sebagai tailong dalam serbuan di sebuah stesen minyak Batu 3 Jalan Apas, Tawau. – Foto/PDRM

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan sebilah kerambit yang diselitkan di belakang bahagian pinggang seluar suspek.

“Turut ditemukan pelbagai peralatan di dalam beg sandang suspek dipercayai digunakan bagi tujuan kegiatan jenayah dan pecah rumah.

“Polis juga menemukan sebuah video recorder, kad pengenalan, kad keanggotaan RELA, lima keping kad ATM, sebuah komputer riba, telefon bimbit, wang negara asing dan beberapa pasang pakaian,” katanya.

Champin berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Derah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 8 (1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah,” katanya. – Info X