Search

Projek tebatan banjir selamatkan pekan Beaufort daripada limpahan air Sungai Padas

January 8, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Pekan Beaufort tidak terjejas akibat banjir walaupun limpahan air Sungai Padas melepasi paras bahaya sejak akhir minggu lalu.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam, berkata situasi banjir kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Katanya, jika sebelum ini pekan lama Beaufort menjadi lokasi pertama dilimpahi air Su fai Padas dan sering terjejas teruk akibat banjir, namun keadaan itu tidak lagi berlaku.

Beliau berkata perubahan itu adalah hasil projek tebatan banjir yang dilaksanakan di daerah ini yang terbukti berkesan menghalang banjir di kawasan pekan.

“Projek tebatan banjir fasa pertama yang siap dibina tahun lalu berjaya menghalang limpahan air Sungai Padas, sekali gus mengelakkan kejadian banjir besar di kawasan pekan yang sebelum ini sering dinaiki air setiap kali paras sungai meningkat.

“Keberkesanan projek itu dapat dilihat dengan jelas apabila air banjir hanya bertahan di kawasan kampung tertentu, manakala Pekan Lama Beaufort kekal selamat dan tidak terjejas berbanding kejadian banjir sebelum ini.

“Biasanya apabila banjir berlaku, kawasan Pekan Lama Beaufort antara yang paling awal dinaiki air, namun kali ini, hasil pelaksanaan tebatan banjir fasa pertama, kawasan berkenaan tidak lagi ditenggelami air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir, di sini, pada Rabu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kejayaan projek tebatan banjir fasa pertama itu menjadi bukti bahawa usaha tebatan banjir mampu mengurangkan risiko serta impak bencana sekiranya dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan fasa kedua projek tebatan banjir, tertakluk kepada peruntukan kewangan kerajaan memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi dan tempoh pelaksanaan yang panjang.

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mendapatkan sokongan dan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembinaan tebatan banjir berskala lebih besar bagi mengurangkan kejadian banjir berulang yang menjejaskan penduduk, sektor pertanian dan ekonomi setempat.

“Keberkesanan tebatan banjir ini memberi keyakinan bahawa langkah pencegahan yang berterusan mampu melindungi keselamatan rakyat serta mengurangkan kerugian akibat banjir pada masa hadapan,” katanya. – Info X