PITAS: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi selepas menyerbu sebuah lori tangki dan sebuah kapal dalam operasi khas di kawasan Bengkoka, di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan itu, pemeriksaan mendapati sebuah lori tangki yang dipandu lelaki tempatan membawa kira-kira 13,900 liter petrol, manakala sebuah kapal didapati mengandungi anggaran 80,000 liter petrol serta kira-kira 1,350 liter diesel.
Semua bahan api berkenaan disyaki diseleweng tanpa kelulusan sah sebelum dirampas untuk tindakan lanjut.
Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Jaffri Bidin berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat risikan sebelum sepasukan pegawai dari Unit Risikan Marin melakukan pemantauan kira-kira jam 12.14 tengah malam.
“Lori tangki berkenaan dikesan dan diekori sebelum didapati sedang memindahkan petrol ke kapal terbabit, lalu serbuan segera dilakukan.
“Pemeriksaan ke atas kapal menemukan empat kru termasuk seorang juragan, dengan juragan merupakan warga tempatan manakala tiga lagi kru adalah warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen kelulusan atau kebenaran aktiviti bunkering daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Dua individu bersama barang rampasan diserahkan kepada KPDN untuk tindakan lanjut, manakala tiga warga asing tanpa dokumen diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat bagi siasatan seterusnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969,” katanya.
Sementara itu, Jaffri berkata pihaknya menegaskan komitmen berterusan untuk membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi demi kepentingan negara serta keselamatan perairan. – Info X