KOTA BELUD: Sokongan akar umbi terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) terus meningkat apabila seramai 100 penduduk dari Mukim Rosok mengisytiharkan penyertaan mereka ke dalam parti itu, sekali gus mengukuhkan persediaan jentera PGRS Tempasuk dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Ketua Bahagian PGRS Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, kemasukan ahli baharu itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap dasar dan polisi kerajaan dipimpin Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang lima tahun ini.
“Kemasukan ahli baharu di Mukim Rosok merupakan manifestasi penerimaan rakyat terhadap dasar kerajaan Datuk Seri Hajiji.
“Ia satu perkembangan positif untuk PGRS Tempasuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arsad yang juga calon dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, dalam masa sama menyeru pengundi agar meletakkan kestabilan politik sebagai faktor utama ketika membuat pilihan pada 29 November ini.
“GRS ialah wadah politik yang menepati kriteria kestabilan. Di bawah Datuk Seri Hajiji, ia menjadi satu-satunya gabungan yang berusaha menyatukan pemimpin politik di Sabah demi kestabilan negeri, meskipun ada parti komponen yang sebelum ini tidak mempunyai satu kerusi DUN pun.
“Kesatuan ini penting kerana kestabilan politik akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Majlis penyerahan borang keahlian yang berlangsung pada Sabtu lalu di Markas PGRS Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rosok turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian PGRS Tempasuk merangkap mantan ADUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli. – Info X