SEPANGGAR: Menziarahi penduduk uzur dan dalam kesusahan bukan setakat untuk menunjukkan simpati atau menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang berdepan situasi itu.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan, peluang menziarahi mereka adalah juga satu pendekatan untuk mendengar keluhan dan harapan mereka terhadap negeri Sabah.
Atas kesedaran itu, Ketua UMNO Bahagian Sepanggar itu, tidak mensia-siakan lawatan Ziarah Kasih yang disusun sepanjang kempen BN bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah ) Ke-17 untuk menemui rakyat yang memerlukan perhatian.

“Setiap senyuman, setiap perkongsian dan setiap pandangan mereka meninggalkan kesan yang mendalam. Mereka bukan sekadar bercakap tentang keperluan harian, tetapi juga harapan mereka untuk sebuah kerajaan yang adil, telus, dan sentiasa mendengar suara rakyat.
“Dalam pertemuan yang penuh keikhlasan ini, saya diingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada kesejahteraan rakyatnya.
“Semoga usaha kita semua membawa manfaat sebenar, bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang,” katanya meluahkan isi hati mengenai apa yang dilihat dan dirasainya menerusi program Ziarah Kasih BN.

Dalam program hari ini, Yakub berkesempatan singgah di Kampung Salut Perdana, di sini, untuk menziarahi beberapa penduduk yang uzur, sambil bertanya keadaan dan menyelami isi hati mereka.
Program itu turut disertai Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selain petugas BN Sepanggar yang sentiasa bersedia membantu penduduk Karambunai.
Menziarahi penduduk uzur, sakit dan memerlukan bantuan adalah antara rutin hariannya sepanjang kempen PRU Sabah Ke-17 yang bermula pada Sabtu lalu dan bakal berakhir kira-kira seminggu lagi.
Menerusi program itu, Yakub juga mendapat pelbagai maklum balas berhubung apa yang dimahukan rakyat di DUN Karambunai pada pilihan raya kali ini, termasuk ada yang menyatakan kerinduan mereka terhadap zaman BN yang dirasai sebelum ini.
“Setiap senyuman dan salam yang dihulurkan terasa begitu ikhlas. Saya bertanya khabar mereka satu per satu, mendengar cerita harian dan harapan mereka untuk masa depan.
“Ada yang berkongsi rasa rindu terhadap pemerintahan Barisan Nasional dan tidak kurang juga yang mendoakan agar negeri Sabah terus berada di landasan terbaik,” katanya mengulas program sama di Kampung Lapasan, Telipok sebelum ini.
Yakub selaku penyandang kerusi DUN Karambunai berdepan saingan 11 penjuru pada PRU Sabah Ke-17 dengan antara pencabar utama ialah calon dari Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X