Search

PRU Sabah: 596 calon, umur 86 paling tua, 24 tahun paling muda

November 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 menyaksikan seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata daripada jumlah itu, seramai 74 orang adalah calon Bebas, manakala selebihnya calon mewakili parti.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak 23 parti bertanding pada pilihan raya kali ini dengan Parti Warisan di semua 73 kerusi, diikuti Parti Impian Sabah (PIS) sebanyak 72 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (55).

Selebihnya, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di 46 kerusi, Barisan Nasional (BN) di 45 kerusi, Perikatan Nasional (PN) di 42 kerusi, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) di 40 kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di 25 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) di 22 kerusi.

“Tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025.

“SPR telah menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen,” katanya.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka bilik gerakan yang beroperasi selama 24 jam bermula dari 10 November 2025 hingga 5 Disember 2025.

Bilik Gerakan SPRM, katanya beroperasi di Pejabat SPRM Negeri di Kota Kinabalu (017-8478740/088-488381) dan Cawangan; cawangan Pejabat SPRM Sandakan (011-18669877 / 089-668746), Tawau (089-772743), Keningau (016-5771521 / 087-336761) serta Lahad Datu (089-868769).

“Sebarang aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa juga boleh disalurkan menerusi e-mel [email protected],” katanya.

Sementara itu, katanya selepas penamaan calon hari ini, SPR mengenal pasti satu kerusi menyaksikan pertembungan 14 calon, diikuti empat kerusi 13 penjuru dengan paling banyak ialah enam penjuru iaitu di 13 kerusi.

Katanya, calon wanita hanya 71 orang berbanding calon lelaki seramai 525 orang, manakala calon paling muda berumur 24 tahun di kerusi DUN Silam, manakala yang paling tua berumur 86 tahun di kerusi DUN Bingkor, kedua-duanya mewakili Parti Kebangsaan Sabah (PKS). – Info X