KOTA KINABALU: Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah) berlangsung aman dan teratur di seluruh negeri tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, proses hari ini mencatat sejarah apabila tiada laporan polis atau aduan diterima daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), calon, pencadang mahupun penyokong, sesuatu yang jarang berlaku pada hari penamaan calon.
Menurutnya, penugasan polis bermula seawal jam 5 pagi dengan kekuatan 4,571 pegawai dan anggota ditempatkan di 25 pusat penamaan calon seluruh Sabah, selain kawalan di lokasi strategik bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
“Proses yang bermula seawal pagi hingga tamat sekitar jam 1.30 tengah hari berjalan dengan sempurna.
“Setakat ini, tiada sebarang kejadian yang mengganggu ketenteraman direkodkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Sabtu.

Dalam masa sama, Jauteh mengesahkan berlaku satu insiden kesihatan membabitkan seorang calon di luar pusat penamaan namun situasi berjaya ditangani dengan pantas oleh pegawai perubatan yang memang ditempatkan di semua pusat penamaan calon.
“Langkah awal menempatkan pegawai perubatan ini membantu menangani kejadian tidak dijangka. Saya mendoakan calon berkenaan segera pulih,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua calon dan penyokong yang menunjukkan disiplin tinggi serta mematuhi arahan keselamatan sehingga proses penamaan calon berjalan tanpa gangguan.
“Kita berharap tahap profesionalisme ini dikekalkan sehingga hari pengundian pada 29 November nanti,” katanya.
Jauteh turut mengingatkan semua pihak supaya mendapatkan permit polis sebelum mengadakan sebarang kempen, terutamanya di kawasan tumpuan orang ramai.
“Proses permohonan permit berjalan lancar dan setakat ini tiada permohonan yang ditolak,” katanya.
Beliau juga menyifatkan kerjasama pihak media menyampaikan maklumat penutupan jalan sebagai faktor penting membantu kelancaran hari penamaan calon.
“Tanpa bantuan media, sukar untuk maklumat disalurkan kepada pengguna jalan raya. Semoga kerjasama ini berterusan sehingga tamat proses PRU kali ini,” katanya. – Info X