Search

PRU Sabah: GRS ambil tindakan ahli tanding Bebas

November 15, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli atau pemimpin parti itu yang bertanding calon bebas bagi menentang GRS Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku pengerusinya berkata sesiapa yang didapati bertanding bebas akan dipecat daripada parti.

Katanya, perbuatan itu tidak boleh diterima berbanding isu pertembungan antara parti yang bekerjasama.

“Saya juga dapat makluman tetapi bagi parti-parti yang ‘friendly contest’, itu kita boleh terima tetapi bagi ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang bertanding calon bebas, kita akan ambil tindakan untuk pecat mereka daripada parti, ini kita tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai mengemukakan pencalonan bagi mempertahankan kerusi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Sabtu.

Mengenai calon yang bertanding di Sulaman, selain Pantai Dalit, Kiulu dan Tamparuli, Hajiji berkata kehadiran ramai calon pada pilihan raya kali ini adalah proses biasa demokrasi.

“Kitapun sudah tahu calon-calon yang bertanding DUN Sulaman, inilah demokrasi, semua boleh bertanding tetapi saya amat yakin calon GRS akan menang dengan majoriti besar di kawasan sulaman.

“Saya memang yakin bahawa GRS dan Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan pada 29 November ini,” katanya. – Info X