TUARAN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli menyaksikan pertembungan 13 penjuru, menjadikannya yang terbanyak berbanding tiga lagi kerusi DUN di kawasan ini.
Ia disusuli DUN Kiulu seramai lapan calon, tujuh calon di kerusi Pantai Dalit, manakala lima calon termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang bertanding tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi DUN Sulaman.
Secara keseluruhan, seramai 33 calon layak bertanding selepas mengemukakan pencalonan masing-masing mengikut masa yang ditetapkan bagi keempat-empat kawasan DUN.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki ketika mengumumkan senarai calon di semua kerusi berkata, tiada pencalonan yang ditolak di keempat-empat kerusi.
Kerusi DUN Tamparuli ditandingi calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Aliusus Sipil (Rumpun), Vun Yun Fook (Bebas), Julia Ongkili (Parti Impian Sabah – PIS), Arthur Erik Lee (Anak Negeri), Dr Lee Han Kyun @ Joseph Lee (Warisan), Jinitoh Sontori (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR), Samson S Koroh @ Razali Suffian (Bebas), Johan Jahid (Bebas), Andrew Mali (Bebas), Gaim @ James Lunkapis (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – KDM), Raymond Alfred @ Jenry (Bebas) dan Dr Bonaventure Boniface dari GRS.
Kawasan DUN itu turut merekodkan jumlah calon bebas yang terbanyak dengan seramai lima calon, manakala tiada calon bebas di kerusi DUN Sulaman, Pantai Dalit dan Kiulu.
Sementara itu, di kerusi DUN Kiulu, penyandangnya, Datuk Joniston Bangkuai (GRS) yang akan mempertahankan kerusi dicabar tujuh calon iaitu Henry Saimpon dari KDM, Dusi Gingging (Parti Kebangsaan Sabah -PKS), Trevor Maringking (Anak Negeri), Saibin Gunsari (Warisan), Joisin Romut (UPKO), Niky Jo Bosikol (Parti Impian Sabah – PIS) dan Terence Sinti (STAR).
Bagi DUN Sulaman, Hajiji selaku penyandang dicabar empat calon lain iaitu, Mokhtar Hussin (Warisan), Dr Shahnon Rizal Thajuddin (BN), Datik Thiamiah @ Siti Aminah Ele dari Perikatan Nasional (PN) dan Pajudin Nordin (PIS).
Di kerusi DUN Pantai Dalit, penyandangnya dari GRS, Datuk Jasnih Daya dicabar enam calon iaitu Liam Tawil (PIS), Francis Fahir (STAR), Datuk Aliasgar Basri (Warisan), Alfian Sambas (BN), Mohd Zulkernain Osman (PN) dan Jaesman Gipin (KDM). – Info X