Search

PRU Sabah: Bina Darau Bersama, visi Joe Arfan bangunkan Darau

November 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar menetapkan visi ‘Bina Darau Bersama’ sebagai agenda utama pembangunan yang akan dilaksanakannya di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi di DUN Darau supaya memilih beliau selaku calon BN Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 bagi kawasan itu pada 29 November ini.

“Saya mengajak semua pengundi di DUN Darau supaya memilih calon nombor tiga, saya menekankan keperluan kestabilan demi memastikan pembangunan Darau dapat diteruskan.

“BN mempunyai komitmen tinggi untuk membawa aspirasi penduduk ke peringkat lebih tinggi dengan menggariskan visi ‘Bina Darau Bersama’ sebagai agenda utama pembangunan.

“Semangat ‘Radu Tatap Radu’ yang dibawa BN menjadi simbol kesatuan dan kekuatan masyarakat Darau,” katanya.

Sementara itu, pada Ahad Arfanshah sempat turun padang meninjau kemudahan asas dan potensi pembangunan di sekitar Kampung Rampayan dalam siri kempen PRU Sabah Ke-17.

Ketua Pemuda UMNO Sepanggar yang lebih mesra disapa sebagai Joe itu mengambil kesempatan melakukan tinjauan, selain mendengar keluhan dan rintihan ketika program ziarah di Kampung Kembirian dan Rampayan, Manggatal.

Katanya, beberapa perkara berkaitan kemudahan penduduk diberi perhatian dan akan diambil tindakan jika beliau berjaya memenangi kerusi DUN Darau pada 29 November ini, manakala isu kecil yang dikenal pasti boleh diselesaikan segera, terus diambil tindakan.

“Saya meneruskan lawatan ke Kampung Kemberian di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rampayan dan selepas itu meneruskan ziarah ke Kampung Rampayan untuk bertemu penduduk dan ketua-ketua komuniti.

“Dalam program itu kita mengambil kesempatan mendengar sendiri rungutan, keperluan dan cadangan warga kampung serta meninjau kemudahan asas dan potensi pembangunan kawasan sekitar,” katanya.

Sepanjang program itu, Arfanshah turut mendekati warga emas, ibu bapa dan golongan muda bagi mengenal pasti isu setempat secara langsung.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif belia dalam memperkukuh aktiviti kemasyarakatan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita juga memberi galakan kepada belia untuk menganjurkan lebih banyak program kebajikan dan kemasyarakatan di kawasan DUN Darau ini,” katanya pada program ganti minyak motor anjuran belia Darau. – Info X