Search

Tiga maut, kanak-kanak parah kereta dinaiki bertembung treler

November 24, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang kanak-kanak parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung sebuah treler bermuatan kernel sawit sebelum diseret kira-kira 30 meter dalam nahas di Jalan Dewata, Pondok Ketam, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa terkorban ialah Razlan Ismail, 56; Mohamad Shahril Saharudin, 43; dan Junainah Sakkala, 39.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Mohd Zariff Shah Abdullah, pula cedera parah.

Keempat-empat mangsa berada dalam Toyota Innova yang datang dari arah Lahad Datu menuju Kunak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama jentera LFRT dan sebuah unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan treler di Jalan Dewata, Pondok Ketam, Lahad Datu.

“Siasatan awal mendapati Toyota Innova berwarna putih itu dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak, manakala lori treler 30 tan berwarna hijau datang dari arah bertentangan.

“Impak perlanggaran itu menyebabkan Toyota Innova diseret kira-kira 30 meter oleh treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa dalam kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM.

“Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun pula parah dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans KKM bagi rawatan lanjut.

Anggota bomba mengangkat mangsa yang berjaya dikeluarkan selepas tersepit dalam kemalangan di Jalan Dewata, Pondok Ketam, Lahad Datu.

“Pasukan bomba membuka ruang kerja menggunakan peralatan khas penyelamatan RTA sebelum mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya.

Sumsoa berkata, pemandu lori treler terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan telah pergi sendiri ke balai polis berhampiran sebelum bomba tiba.

“Mayat tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kemalangan masih disiasat PDRM.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.12 petang setelah memastikan lokasi kemalangan selamat,” katanya. – Info X