Search

PRU Sabah: Buat pertimbangan dengan tenang, pilih BN – Joe Arfan

November 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengundi perlu membuat pertimbangan dengan tenang dan penuh harapan sebelum memangkah pilihan masing-masing pada hari mengundi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.

Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar, berkata pengundi bukan saja memilih wakil mereka di DUN untuk lima tahun akan datang, malah lebih penting lagi ia adalah soal masa depan rakyat.

“Hanya satu hari saja lagi sebelum Sabah melangkah ke detik penting. Esok, kita bukan sekadar memilih wakil, tetapi memilih masa depan anak-anak kita, kestabilan negeri, dan haluan pembangunan yang kita mahu lihat.

“Moga keputusan kita esok lahir daripada pertimbangan yang tenang dan penuh harapan. Esok, mari kita tampil sebagai rakyat yang bertanggungjawab, bersatu dan yakin dengan pilihan kita.

“Undilah calon BN, calon nombor tiga bagi kerusi DUN Darau,” katanya ketika menitipkan harapan pada hari terakhir kempen PRU Sabah Ke-17 kepada pengundi di kerusi DUN Darau.

Arfanshah atau lebih mesra disapa sebagai Joe Arfan berdepan saingan enam penjuru mencabar calon penyandang dari Warisan, selain calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Impian Sabah (PIS).

Selaku calon mewakili anak muda, Ketua Pemuda UMNO Sepanggar itu meletakkan harapan tinggi kepada pengundi muda selaku pemilih teramai di kawasan itu, di samping sokongan golongan lama untuk menyokong beliau selaku calon BN.

Dengan slogan Bikin Balik Sabah yang dibawa BN pada pilihan raya kali ini, Arfanshah percaya rakyat Sabah, termasuk di DUN Darau mempunyai keinginan yang tinggi untuk melihat perubahan di bawah kerajaan baharu selepas selesai pengundian esok.

“Rekod pencapaian BN sebelum ini perlu dijadikan panduan sebelum membuat pilihan parti mana yang layak memerintah negeri Sabah agar undi yang diberikan tidak sia-sia,” katanya.

Sepanjang kira-kira dua minggu kempen, Arfanshah bukan setakat menemui pengundi dan merayu undi daripada mereka, malah menyantuni semua lapisan rakyat serta mengenal pasti masalah yang dihadapi di kawasan Darau.

Isu banjir kilat adalah antara masalah lama yang masih berlarutan di beberapa kampung sekitar DUN Darau, malah turut berlaku ketika kempen sudah berada di penghujung berikutan hujan lebat dalam beberapa hari lalu.

Beliau juga mendengar sendiri daripada masyarakat setempat terutama anak muda, segala permasalahan dan isu yang dihadapi bagi mencari langkah penyelesaian segera atau dipanjangkan kepada pihak berkaitan untuk diambil tindakan.

“Di Kampung Kalansanan, baru-baru ini saya melakukan ziarah sambil saya juga mengharapkan agar mandat kembali diberikan kepada BN untuk melihat perubahan di sini.

“Saya juga dapat bertemu empat mata dengan sosok penting BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi BN. Pertemuan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan di N17 Darau,” katanya ketika kempen di Kampung Kalansanan, Inanam, beberapa hari lalu.

Bukan hanya di Kalansanan, Arfanshah turut melawat seluruh kawasan DUN Darau termasuk di Likas, Rampayan, Kampung Darau, Kembirian, selain beberapa lagi lokasi lain bagi menyampaikan misinya membawa nafas baharu untuk DUN Darau.

Ketika berkempen di Kampung Darau beberapa hari lalu, Arfanshah mengaku bukan seorang yang sempurna kerana masih baharu dan kurang dikenali, tapi percaya beliau dipilih pucuk pimpinan parti atas keyakinan terhadap kemampuannya untuk membawa nafas baharu di kawasan itu.

“Saya datang sini mudah saja, tiada perkara lain atau apa-apa yang saya minta, apa yang penting ialah sokongan kamu (rakyat Darau). Saya bukanlah calon yang ‘perfect’, tapi kenapa BN pilih saya, mungkin kerana dia mahu saya bawa nafas baharu di Darau.

“Jadi, saya minta tuan puan bantu saya dan insyAllah pada 29 haribulan nanti kita pastikan Darau menyumbang satu kerusi untuk pembentukan kerajaan BN. Saya percaya kita menang juga pada 29 November ini,” katanya. – Info X