Search

PRU Sabah: Hajiji yakin GRS kembali bentuk kerajaan negeri

November 28, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diberi mandat semula bagi memimpin kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.

“InsyaAllah, kita yakin akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya esok,” katanya ketika ditemui pada siri kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ di Pantai Manis, di sini, pada Jumaat.

Pengerusi GRS itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu, rakyat menerima baik manifesto dan calon-calon GRS.

Dalam pada itu, beliau berkata Papar akan dapat berkembang lebih pesat sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat DUN di kawasan Parlimen Papar adalah dari GRS.

“Saya yakin jika ketiga-tiga ADUN di sini dari GRS, mereka dapat menggembleng usaha bersama Ahli Parlimen (Datuk Armizan Mohd Ali) untuk membangunkan Papar,” katanya.

Tiga calon GRS di Papar ialah Datuk Gulamhaidar Bahadar Khan (Kawang), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).

Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi DUN Sulaman mengulangi gesaannya agar rakyat memilih GRS pada pilihan raya esok (29 November).

“Dalam tempoh lima tahun lalu, Kerajaan Negeri yang diterajui GRS telah membuktikan rekod pencapaiannya.

“Rakyat jangan terpengaruh dengan pembohongan yang dilemparkan pembangkang dalam kempen mereka. Ada antara mereka telah terbukti gagal.

“Mereka hanya mampu bertahan dua tahun setengah sebelum ditolak rakyat. Jadi, mengapa kita perlu beri mereka peluang,” katanya.

Hajiji memberi jaminan pelbagai isu yang dibangkitkan Pengiran Saifuddin mengenai Pantai Manis akan ditangani sekiranya GRS kembali menjadi Kerajaan Negeri.

Sementara itu, ketika menamatkan siri kempen di Kampung Meruntum, Putatan, Hajiji berkata rakyat tidak boleh membuat kesilapan dengan memilih parti yang telah terbukti gagal sebagai Kerajaan Negeri sebelum ini.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri yang diterajui GRS telah terbukti berjaya melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dan kita akan meneruskan dengan Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya. – Info X