Alias Abdullah
BERKHIDMAT sejak sebelum menjadi Yang Berhormat (YB) meletakkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau di hadapan dalam persaingan enam penjuru merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, Sabtu ini.
Dengan perwatakan yang sederhana dan penampilan bersahaja, Datuk Mohd Razali Razi sememangnya dikenali rakyat DUN Darau sebagai seorang yang ‘bekerja’ meskipun beliau bukan bergelar wakil rakyat atau pemimpin ternama di kawasan yang terletak di pinggir bandar raya Kota Kinabalu itu.
Lebih mesra disapa dengan panggilan Bob atau Datuk Bob, beliau sememangnya disenangi rakyat DUN Darau, lebih-lebih lagi banyak yang sudah dilaksanakannya selaku Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau bagi membantu rakyat dan meningkatkan kemudahan di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

Setiausaha Agung Gagasan Rakyat itu tidak menunggu sehingga bergelar YB untuk berkhidmat kepada rakyat, sebaliknya tampil sejak awal untuk membantu rakyat kawasan itu sejajar komitmen kerajaan GRS dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat.
Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kampung diakui antara inisiatif dibawa beliau yang memberi manfaat kepada penduduk, khususnya dalam usaha menangani aktiviti tidak sihat dan jenayah, terutama di lokasi yang berisiko.
Di Kampung Kalansanan, Inanam, penduduk memaklumkan sudah ada satu dua kes jenayah dikesan menggunakan peralatan itu yang dikendalikan jawatankuasa keselamatan kampung dan sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa setakat ini.

Inisiatif itu menunjukkan idea pemasangan CCTV yang dibawa Razali benar-benar membawa manfaat kepada penduduk yang selama ini hanya bergantung kepada laporan kes jenayah kepada pihak berkuasa tanpa alat bantuan yang boleh memudahkan proses penyelesaian.
Bukan setakat CCTV, Datuk Bob juga dipuji kerana banyak turun padang meninjau dan mendengar masalah rakyat untuk diambil penyelesaian, selain membantu mereka yang memerlukan.
“Berbanding calon lain, Bob sudah beberapa kali turun padang di kampung ini dan kami memang mengenali beliau sejak sebelum menjadi calon pada pilihan raya kali ini,” kata seorang penduduk Kampung Kalansanan, ketika ditemui baru-baru ini.
Bob bersama empat calon lain, termasuk dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Impian Sabah (PIS) bersaing untuk mencabar penyandang kerusi itu, Azhar Matussin dari Parti Warisan.

Azhar yang dicalonkan semula bagi mempertahankan kedudukannya pada 29 November ini, memenangi kerusi itu pada PRU Sabah Ke-16 pada 2020 dengan majoriti 562 undi menewaskan pencabar terdekatnya dari BN, Datuk Jumat Idris pada masa itu.
Tidak dinafikan saingan kuat Azhar dan calon lain, khususnya dari BN, Arfanshah Abdul Gafar, namun kelebihan ‘bekerja’ dari awal untuk penduduk DUN Darau meletakkan Datuk Bob di kedudukan yang lebih diyakini berdasarkan penerimaan rakyat kawasan itu setelah 11 hari kempen PRU Sabah Ke-17.
Berbaki tiga hari lagi kempen, Razali mempertaruhkan manifesto dirinya untuk DUN Darau yang meletakkan soal tadbir urus – Dinamik Dalam Tadbir Urus sebagai agenda utamanya dalam melaksanakan pembaharuan di DUN Darau.
“Kenapa pilih manifesto macam ni? Kenapa fokus benda-benda ni. Jawapan saya mudah. Sebab, inilah perkara yang orang Darau sendiri selalu suarakan kepada saya sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Setiap kali turun kampung, minum kopi di gerai-gerai, jalan di pasar, jumpa anak muda, jumpa ibu-ibu, isu yang mereka bangkitkan hampir sama, iaitu pentadbiran kampung perlu lebih kemas, peluang ekonomi perlu diperkasa, kebajikan mesti cepat sampai, anak muda perlu ruang berkembang dan hubungan komuniti mesti kuat.

“Sebab itu saya susun manifesto ini dengan sangat praktikal. Bukan janji besar yang kosong, tapi benda yang boleh kita buat, boleh kita mula dan boleh kita nampak hasilnya.
“Program GIG ekonomi, hotline Darau Care, youth hub kampung, dashboard tadbir urus, semua ini bukan teori. Ini keperluan sebenar Darau hari ini. Saya percaya Darau boleh maju jauh kalau sistem pentadbirannya kuat, ekonominya rancak, anak muda diberi peluang dan masyarakatnya bersatu,” katanya mengulas manifesto yang ditawarkan beliau kepada rakyat Darau.
Rangkuman program yang disebutnya itu terkandung dalam manifesto selebihnya yang ditawarkan beliau kepada rakyat Darau menerusi Aspirasi Ekonomi Rakyat, Rakyat Diperkasa, Anak Muda Sejahtera dan Ukhuwah dan Perpaduan Komuniti.
“Saya tidak datang sebagai pemimpin yang mahu dihormati, saya datang untuk berkhidmat dan mendengar. Darau bukan sekadar kawasan, ia adalah amanah dan saya bersedia memikulnya,” katanya menjelaskan misi yang dibawanya untuk rakyat Darau jika diberi mandat mewakili mereka pada 29 November ini.
Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian rasmi Info X