SEPANGGAR: Rakyat DUN Karambunai berpeluang mendengar amanat dan kata-kata semangat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan di Taman Sepanggar, di sini, pada malam Selasa.
Ab Rauf sempat menitipkan kata-kata untuk mengingatkan pengundi kawasan itu supaya mengundi Yakub selaku calon nombor satu yang mewakili BN di kerusi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, Sabtu ini.
“Kalau pergi Lahad Datu, tulis nama atas batu, jangan bimbang jangan ragu, undi calon nombor satu,” katanya berpantun dalam ucapannya pada sesi ceramah rapat umum BN di taman berkenaan.
Pelbagai isu berkaitan cabaran semasa dan peluang masa depan rakyat di DUN Karambunai dibincangkan sepanjang program anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Indah Permai BN itu.

Sementara itu, Yakub berkata semangat ditunjukkan rakyat kawasan itu meyakinnya mengenai peluang untuk sekali lagi memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“Malam tadi saya berkesempatan bersama Ketua Menteri Melaka, YAB DSU Ab Rauf Yusoh, dalam pertemuan di PDM Taman Indah Permai, Taman Sepanggar.
“Dalam sesi itu, kami membincangkan pelbagai isu, daripada cabaran semasa hinggalah peluang masa depan yang saya yakin dapat membuka mata generasi muda untuk menilai apa yang benar-benar membawa manfaat kepada mereka dan komuniti kita.
“Melihat semangat dan keterbukaan semua yang hadir benar-benar memberi inspirasi. Semoga pertemuan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perubahan positif yang akan kita usahakan bersama,” katanya.
Kempen Pru Sabah Ke-17 yang berbaki tiga hari lagi dimanfaatkan sepenuhnya Yakub bersama jentera kempen BN di DUN Sepanggar bagi meyakinkan rakyat supaya memilih beliau pada Sabtu ini.
Yakub berdepan saingan 11 penjuru bagi mempertahankan kerusi itu setelah merampasnya dari tangan Parti Warisan pada pilihan raya 2020. – Info X