Search

PRU Sabah: KM minta SLS sumbang input tuntutan 40 peratus hasil Sabah

November 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, meminta Sabah Law Society (SLS) mengemukakan input untuk mengukuhkan tuntutan terhadap geran khas 40 peratus hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata input SLS, yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri, amat penting bagi memperkukuh rangka kerja yang menjadi asas perbincangan berterusan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam pertemuan dengan SLS, saya mendengar pandangan dan cadangan mereka. Saya telah meminta mereka menyediakan input terperinci dan mengemukakannya kepada Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri untuk terus mengukuhkan tuntutan kita,” katanya.

Beliau berkata demikiab dalam kenyataan selepas pertemuan dengan Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin dan bekas Presiden SLS, Datuk Roger Chin di kediamannya pada Selasa.

Permintaan Ketua Menteri itu adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Negeri dalam tempoh 90 hari berhubung geran perlembagaan itu.

Selain geran khas 40 peratus, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga mahu SLS menjadi sebahagian daripada pasukan yang menggubal kerangka Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund – SSWF) termasuk penyediaan draf enakmennya.

Penubuhan dana pertama SSWF itu adalah antara ikrar teras dalam manifesto pilihan raya GRS yang dilancarkan pada 17 November bertujuan meningkatkan hasil tahunan negeri kepada RM10 bilion menjelang 2030.

Modal permulaan SSWF akan diambil daripada sebahagian rizab negeri Sabah bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Satu peratusan tetap daripada geran khas 40 peratus Sabah daripada Putrajaya akan turut disalurkan ke dalam dana tersebut setiap tahun.

Ketua Menteri berkata selain wakil kerajaan, pasukan SSWF juga akan melibatkan golongan profesional serta pakar dalam bidang pelaburan, kewangan dan perundangan.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Timbalan Setiausaha Agong GRS, Datuk Armizan Mohd Ali dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh. – Info X