TUARAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup, sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, di sini, pagi tadi.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu tiba di perkarangan sekolah berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji berkata, beliau berharap rakyat akan keluar mengundi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Saya menerima laporan awal bahawa proses pengundian berjalan dengan baik, aman dan teratur. Walaupun ramai calon yang bertanding tetapi keharmonian dapat dipertahankan.
“Oleh itu saya meminta rakyat untuk keluar awal mengundi kerana kita risau petang akan hujan,” katanya.
Pada pilihan raya kali ini, Hajiji bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.
Beliau ditentang empat calon iaitu calon Barisan Nasional (BN), Dr Shahnon Rizal Thaijuddin; Moktar Hussin (Parti Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) dan Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional). – Info X