Search

PRU Sabah : Kejutan daripada parti KDM dijangka berlaku esok

November 28, 2025

Info X Reporters

Oleh: 𝙅𝙤𝙣𝙖𝙩𝙝𝙖𝙣 𝘽𝙧𝙖𝙙𝙡𝙚𝙮

KOTA KINABALU: Kurang sehari sebelum pembuangan undi, beberapa kejutan dijangka berlaku termasuklah daripada parti yang dianggap kerdil seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Parti yang kini dipimpin dua timbalan presidennya, Priscella Peter serta Datuk Wetrom Bahanda itu dilihat mula menunjukkan taring mereka mulai pada hari penamaan calon.

Kehadiran ribuan penyokong mereka ke pusat penamaan calon seperti di Tenom, Kota Marudu, Sandakan dan Ranau jelas membuktikan yang KDM bukanlah parti ‘biasa-biasa’ walaupun baru berusia kira-kira tiga tahun.

Sepanjang tempoh kempen juga, beberapa siri ceramah yang dibuat calon-calon KDM di beberapa kawasan dilihat sering mendapat sambutan baik.

Antara kerusi yang dijangka boleh dimenangi KDM termasuk dua kerusi ditandingi timbalan presiden mereka iaitu Melalap dan Matunggong.

Selain itu, dua lagi kerusi di bawah kawasan Parlimen Kota Marudu yang dipimpin Wetrom, iaitu Tandek dan Bandau juga dijangka boleh dimenangi mereka, selain satu kerusi di Kudat iaitu Bengkoka.

‘Bunga Rafflesia’ turut dijangka mencipta kejutan di Ranau iaitu bagi kawasan DUN Kundasang serta Paginatan manakala di Tuaran, Kiulu merupakan kerusi paling berpotensi dimenangi KDM.

Sementara itu di kawasan pedalaman pula, selain Melalap yang ditandingi Priscella, beberapa lagi kawasan turut menyaksikan persaingan sengit membabitkan KDM iaitu di Nabawan, Tulid serta Kemabong, walaupun ianya dilihat sedikit sukar.

Di Pantai Timur pula, KDM dilihat mempunyai peluang besar untuk memenangi dua daripada empat kawasan DUN yang ditandingi iaitu Elopura serta Tanjung Papat.

Sekiranya gelombang ‘bunga Rafflesia’ ini benar-benar berlaku esok, KDM dijangka mampu memenangi sekitar 10 hingga 13 kerusi dan kemungkinan besar menjadi antara parti yang menentukan pembentukan kerajaan selepas PRU DU Sabah Ke-17 berakhir.

𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙝𝙖𝙣𝙮𝙖 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙣𝙜𝙜𝙖𝙢𝙗𝙖𝙧𝙠𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓.