Search

PRU Sabah: SE sedia 25 genset elak gangguan elektrik di 25 pusat penjumlahan undi

November 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) menyediakan 25 unit janakuasa bergerak yang akan ditempatkan di 25 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.

Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata langkah itu bagi memastikan bekalan elektrik di semua pusat penjumlahan undi dalam keadaan stabil dan baik sepanjang proses penjumlahan undi dijalankan.

“SE menyediakan sebanyak 25 janakuasa bergerak dan mudah alih yang ditempatkan di pusat penjumlahan undi sebagai pelan mitigasi untuk memastikan bekalan elektrik berterusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Inisiatif itu, katanya adalah antara usaha SE memastikan proses penjumlahan undi PRU Sabah Ke-17 berjalan dengan lancar dan tiada insiden gangguan bekalan elektrik yang boleh menjejaskan kredibiliti proses pilihan raya.

“SE telahpun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik di lokasi-lokasi terbabit sentiasa terjamin sepanjang musim pilihan raya.

“Kita juga mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah bagi membincangkan persediaan dan memaklumkan langkah yang diambil SE untuk memastikan pepasangan SE sentiasa dalam keadaan baik,” katanya.

Mohd Yaakob berkata, SE juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pendawaian dalaman dewan di bawah bidang kuasa JKR yang merangkumi pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi dalam keadaan teratur dan stabil.

Selain itu, katanya SE turut membuat pemeriksaan keselamatan dengan meningkatkan aktiviti rondaan anggota polis bantuan SE dan mengaktifkan bilik gerakan di Ibu Pejabat dan semua pejabat kawasan SE seluruh Sabah.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan seramai 500 anggota kerja SE akan bertugas secara bergilir sepanjang hari pembuangan dan penjumlahan undi esok.

Katanya, bilik gerakan SE pula akan dibuka pada Hari Pembuangan Undi dan Penjumlahan Rasmi Undi bagi memastikan komunikasi di antara SE dan pihak-pihak tertentu dapat diurus secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, semua kerja-kerja terjadual yang telah dirancang awal dan melibatkan penutupan berjadual akan ditangguhkan kecuali penutupan bekalan yang melibatkan kerja-kerja kecemasan. – Info X