KOTA KINABALU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan Karambunai diminta supaya mengekalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.
Calon GRS Darau, Datuk Mohd Razali Razi @ Bob, berkata sokongan pengundi perlu demi memastikan kesinambungan pembangunan dan agenda kesejahteraan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Beliau menegaskan perubahan yang diinginkan rakyat hanya akan berlaku jika kerajaan yang stabil dapat dikekalkan.
Jelasnya, GRS turun ke lapangan sejak lebih tiga tahun lalu dengan rekod kerja, bukti dan prestasi, bukan dengan janji kosong atau retorik politik.
“Budaya kita di Darau dan Karambunai bukan memulakan lidah dengan berbohong. Kita turun dengan amal, kita turun dengan kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di perkarangan Masjid Al-Munir Kampung Darau, pada Rabu.
Razali turut menyentuh keluhan penduduk yang mendakwa tiada saluran tepat untuk mengadu, mendapatkan bantuan atau menyuarakan keperluan komuniti.
Justeru itu katanya, GRS komited menyediakan platform lebih berstruktur dan responsif agar rakyat tidak lagi merasa terpinggir.
Katanya, kestabilan politik adalah asas kepada pembangunan dan ia hanya dapat dijamin jika GRS dikekalkan sebagai pemerintah negeri.
Razali menegaskan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor adalah pemimpin yang membawa politik matang berasaskan idea, perancangan dan penyelesaian, bukan politik kebencian.
“Untuk mendapatkan kerajaan yang baik, kita perlukan pemimpin yang baik dan di Sabah, pemimpin itu ialah Datuk Seri Hajiji,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan kerap menukar kerajaan hanya merugikan rakyat, kerana dasar serta pembangunan akan terhenti setiap kali berlaku perubahan pentadbiran.
“Kalau tukar kerajaan, putus lagi. Rakyat rugi,” katanya.
Razali sekali lagi menyeru pengundi Darau dan Karambunai untuk bersatu dan membuat keputusan berdasarkan masa depan negeri, bukan emosi atau sentimen sempit.
“Pilihan raya bukan macam hari raya yang datang setiap tahun. Ini penentuan lima tahun nasib kita.
“Kami merayu ruang untuk menjadi wakil suara rakyat. Bukan untuk diri Razali, bukan untuk Datuk Arshad (calon GRS Karambunai), tetapi untuk semua orang Darau dan Karambunai,” katanya. – Info X