Search

PRU Sabah: Shafie tiada kaitan atau pengaruh ke atas AirAsia – Warisan

November 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengaitkan pinjaman RM300 juta AirAsia dengan tambang penerbangan untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Alias Sani juga mempertikai tindakan pemimpin BN Sabah itu yang mengaitkan perkara itu dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, selaku bekas Ketua Menteri.

Katanya, tindakan itu tidak wajar kerana Shafie tiada sebarang kepentingan dalam syarikat penerbangan berkenaan, lebih-lebih lagi dalam soal menentukan tambang penerbangan.

“Pertama, AirAsia adalah syarikat penerbangan swasta. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai sebarang hubungan kepentingan ataupun pengaruh terhadap operasi dan harga tambang dengan syarikat itu. Tuduhan yang mengaitkan beliau dengan dasar tambang AirAsia adalah tidak berasas.

“Kedua, AirAsia sudahpun menawarkan tambang promosi kepada rakyat Sabah yang mahu pulang mengundi. Tawaran itu terbuka dan terpulang kepada rakyat untuk menerimanya atau tidak. Menjadikan ia seolah-olah arahan Shafie adalah tidak tepat.

“Ketiga, pinjaman RM300 juta daripada Kerajaan Negeri sudah dibayar semula dan bukan pinjaman bermasalah. Pinjaman itu diberikan ketika pandemik kerana seluruh sektor penerbangan berada di ambang muflis. Tanpa sokongan itu, AirAsia berisiko gulung tikar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Alias berkata, hasil pinjaman itu dapat dilihat hari ini apabila AirAsia dapat mengekalkan lebih 1,000 pekerjanya di Sabah dan pada masa yang sama Sabah juga menikmati 14 penerbangan antarabangsa baharu dari China, Vietnam, Jakarta, Jepun, Singapura dan Manila.

Katanya, semua itu menyumbang kepada ekonomi negeri melalui pelancongan dan perdagangan.

“Persoalan besar yang perlu dijawab Suhaimi ialah mengapa beliau memilih untuk menyerang pinjaman RM300 juta yang sudah dibayar, tetapi berdiam diri mengenai pinjaman RM700 juta kepada SDB yang dilupuskan ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Dua fakta ini menunjukkan ketidakseimbangan kritikan Suhaimi. Pinjaman kepada AirAsia membantu menyelamatkan pekerjaan rakyat Sabah dan membuka laluan antarabangsa.

“Pinjaman RM700 juta yang dilupuskan kerajaan BN pula langsung tidak dipersoalkan,” katanya.

Katanya, Warisan menegaskan kenyataan mengenai tambang penerbangan harus dibuat berdasarkan fakta, bukan untuk meraih keuntungan politik menjelang pilihan raya.

Sebelum ini, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menggesa AirAsia menurunkan tambang untuk balik mengundi kepada rakyat Sabah hingga di bawah RM300 bagi perjalanan ulang alik atas alasan syarikat itu pernah menerima pinjaman dari Sabah Development Bank ketika pentadbiran kerajaan Warisan. – Info X