Search

PRU Sabah: Yakub, BN pilihan terbaik rakyat Karambunai

November 28, 2025

Info X Reporters

SEPANGGAR: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai perlu menimbangkan dengan sebaik mungkin pilihan masing-masing apabila mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, esok.

Selaku penyandang kerusi berkenaan, calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan dilihat sebagai pilihan yang terbaik berdasarkan perkhidmatan dan sumbangan beliau selama lima tahun lalu, selain sumbangan BN secara keseluruhan selama ini.

Dalam amanatnya pada hari terakhir kempen, beliau menekankan lebih banyak program pembangunan untuk kebaikan rakyat di DUN Karambunai, khususnya, bakal dilaksanakan jika beliau dan BN diberi semula mandat untuk mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Pilihlah BN, pastikan hanya calon nombor satu menjadi pilihan di DUN Karambunai. Banyak yang kita rancang untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat di kawasan ini jika BN menang nanti.

“Apa yang rakyat nikmati hasil daripada usaha BN selama ini akan terus ditingkatkan lagi jika kita menang. Manifesto BN jelas menggariskan pelbagai manfaat yang akan dinikmati rakyat jika BN memerintah semula.

“Antaranya, BN menawarkan kemudahan perumahan kepada rakyat menerusi pembinaan 15,000 unit Rumah SabahKu setahun, bantuan baik pulih rumah mangsa bencana dan skim tunai RM100 sebulan untuk B40.

“BN juga mencadangkan penubuhan Dana Kemakmuran Negeri Sabah sebagai simpanan strategik generasi masa depan, manakala setiap bayi Sabah lahir mulai 1 Januari 2026 dijanjikan RM1,000 Amanah Saham Anak Sabah (ANAS).

“Semua ini mengambil kira keperluan rakyat, termasuk di kawasan Karambunai dan Sepanggar ini, terutama dalam soal perumahan dan usaha membantu golongan yang susah dan miskin,” katanya.

Katanya, dalam manifesto itu, BN juga menawarkan program Rumah Casa Belia tanpa deposit sebanyak 1,000 unit setahun, Rumah Transit Belia di bandar utama, Dana Belia Niaga sehingga RM5,000 untuk ekonomi gig dan digital, Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah, pembinaan litar sukan permotoran moden dan Dana Sukan Anak Muda termasuk e-sukan.

“Ini juga kita akan laksanakan di Karambunai jika BN kembali mendapat mandat rakyat. Saya sudah umumkan sebuah litar motor bakal dibina di Karambunai jika kita menang nanti.

“Semua ini dan banyak lagi yang kita akan rancang serta laksanakan adalah untuk manfaat serta masa depan golongan belia yang menjadi antara kumpulan pengundi terbesar di Karambunai.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada belia di Karambunai dan semua lapisan pengundi di kawasan ini supaya mengundi dengan bijak dengan memilih BN, iaitu calon nombor satu,” katanya.

Yakub menjelaskan apa yang ditawarkan BN adalah solusi sebenar kepada keperluan rakyat Sabah, iaitu kestabilan, pembangunan menyeluruh, peluang pekerjaan, keselamatan dan masa depan yang lebih terjamin.

“Inilah bingkisan harapan untuk Sabah. Inilah janji yang akan kita tunaikan bersama kerana masa depan Sabah mesti lebih baik daripada hari ini.

“Manifesto bukan sekadar janji, ia komitmen jelas untuk membawa Sabah ke arah pembangunan sebenar. Demi rakyat. Demi masa depan Sabah,” katanya.

Sepanjang kira-kira dua minggu berkempen, Yakub menyantuni hampir keseluruhan kawasan di Karambunai, yang merangkumi tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) bermula dari kawasan berbukit di Telipok Darat hingga ke kawasan pantai seperti Karambunai dan Kibagu, selain perairan di Pulau Sepanggar.

Yakub berdepan saingan 11 penjuru dengan pencabar utamanya datang dari Parti Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Nasib mereka ditentukan seramai 39,247 pengundi termasuk kira-kira 3,000 pengundi awal yang sudah menunaikan tanggungjawab pada 25 November. – Info X