KOTA KINABALU: Tindakan seorang remaja yang berperanan sebagai ejen pengedaran jus dan dadah ekstasi di sekitar Penampang berakhir apabila dia diberkas polis bersama 95 gram serbuk disyaki ekstasi dalam serbuan di sebuah kondominium, di Penampang, Rabu lalu.
Suspek berusia 18 tahun ditahan ketika memandu Perodua Myvi di lobi kondominium berkenaan selepas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah melakukan pemerhatian hampir 25 minit.
Ketua JSJN Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, sebaik ditahan, remaja itu menyerahkan sendiri tiga paket dan satu tiub straw mengandungi serbuk disyaki ekstasi, selain seunit telefon bimbit yang turut dirampas.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM1,700. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif ketamin.
“Suspek mengaku menjadi ejen kepada seorang lelaki sejak Oktober lalu untuk mengedar jus ekstasi di sekitar Penampang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berikutan itu, katanya sepasukan anggota JSJN IPK Sabah melakukan serbuan susulan di pusat hiburan di Kota Kinabalu, sebelum menahan lelaki berusia 25 tahun.
“Walaupun tiada dadah ditemukan ketika ditahan, suspek mengaku bekalan yang diserahkan suspek pertama adalah miliknya.
“Siasatan juga mendapati suspek pula mendapat bekalan daripada individu dipercayai pekerja premis hiburan.
“Usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan bagi melumpuhkan sepenuhnya rangkaian ini,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan remaja dan pengunjung pusat hiburan, supaya menjauhi sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan segera menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesyaki kegiatan mencurigakan.
“Dadah bukan saja memusnahkan masa depan, tetapi membuka ruang kepada jenayah lain. Kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan rangkaian pengedaran dapat diputuskan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X