KOTA KINABALU: Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran di Semporna yang ditutup berikutan penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua pada 7 Januari lalu akan dibuka semula bermula Rabu ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata pembukaan semula lokasi tumpuan penyelam dan pelancong itu dibuat selepas bom terbabit berjaya dimusnahkan pada Sabtu lalu.
Katanya, penutupan pulau itu sebelum ini dilakukan Taman-Taman Sabah (TTS) sebagai agensi yang mengurus taman marin berkenaan atas faktor keselamatan pengunjung.
“Objek yang dikenal pasti sebagai bom lama atau ’unexploded ordnance’ (UXO) itu berjaya dimusnahkan oleh penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 3.10 petang, 11 Januari 2025.
“Oleh itu, Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada pelancong pada 15 Januari 2025 sebaik sahaja pihak polis dan pasukan keselamatan serta TTS selesai membuat kerja-kerja pembersihan dan penggumpulan sisa-sisa bom,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, arahan penutupan pulau itu dikeluarkan segera selepas penemuan objek terbabit oleh Pengawal Pantai TTS yang bertugas di Pulau Sibuan pada 7 Januari lalu.
“Mereka menjumpai objek yang menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di pantai Pulau Sibuan.
“Pengurus Taman Marin Tun Sakaran kemudian dimaklumkan mengenai penemuan itu dan laporan polis juga dibuat pada hari yang sama.
“Pegawai Penempatan Pos Pulau Sibuan dari 10 RAMD, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dimaklumkan mengenai perkara itu,” katanya.
Christina berkata, tujuan TTS menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta-merta bagi memastikan keselamatan pelawat dan staf yang bertugas di pulau itu.
“Bagaimanapun, aktiviti pelancongan di pulau lain di taman marin itu seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa,” katanya. – Info X