KOTA KINABALU: Seramai 496,541 murid dan pelajar di 1,295 sekolah di Sabah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi sesi 2024 / 2025 yang diagihkan mulai hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi berkata agihan bantuan RM150 seorang itu membabitkan peruntukan sebanyak RM74.48 juta.
“Bagi agihan BAP di Sabah, sebanyak RM74.48 juta diperuntukkan kepada semua murid dan pelajar warga negara yang memberi manfaat kepada 496,541 orang murid dan di 1,295 sekolah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini, hari ini.
Hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.
Ruji berkata, secara keseluruhan KPM menerima peruntukan sebanyak RM791.25 juta melalui Belanjawan 2025 bagi pengagihan BAP kepada setiap murid Tahun 1 hingga pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara.
“Sebanyak RM723.16 juta disalurkan kepada sekolah untuk diagihkan kepada murid dan pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sedia ada bermula 13 Januari 2025, manakala agihan kepada murid Tahun 1 bagi kalender akademik 2025/2026 akan dilaksanakan bermula 16 Februari 2025,” katanya.

Ruji berkata, buat pertama kali juga seramai 100,000 pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara akan menerima BAP dengan agihan keseluruhan untuk mereka sebanyak RM15 juta.
“Saya menyeru ibu bapa atau penjaga dan murid yang menerima manfaat BAP 2025 supaya meningkatkan motivasi murid untuk terus membina kecemerlangan agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya yakin dan percaya bahawa bantuan ini mampu memastikan setiap murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk memulakan sesi persekolahan dan sebagai dorongan bagi mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan,” katanya.
Beliau juga mengingatkan Pengetua dan Guru Besar sekolah supaya tidak membuat sebarang potongan atau kutipan bayaran daripada duit BAP.
“KPM berharap maklumat ini jelas dan difahami oleh semua Pengetua dan Guru Besar,” katanya. – Info X