Search

RM1 bilion projek infrastruktur pendidikan di Sabah

January 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menerima RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk untuk menyelesaikan isu sekolah daif pada tahun ini.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM6.3 bilion untuk projek infrastruktur KPM di seluruh negara yang disalurkan kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan berkaitan infrastruktur bagi negeri Sabah adalah sebanyak RM1 bilion daripada RM6.3 bilion yang diagihkan di seluruh negara.

“Agihan ini bagi memastikan kemudahan infrastruktur KPM di Sabah dalam keadaan baik dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran guru serta murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini, hari ini.

Hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Ruji (tiga kiri) bersama Shahelmey pada Majlis Penyampaian Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di SK Sembulan.

Ruji berkata, selain projek sekolah daif, peruntukan itu juga termasuk pembinaan sekolah baharu seperti Sekolah Pendidikan Khas di Tuaran dan beberapa projek biasa sekolah.

Bagi sekolah daif, katanya pada tahun ini KPM meluluskan sebanyak 122 projek sekolah daif di seluruh negara dengan 52 daripadanya di Sabah.

“Tumpuan akan diberikan bagi memastikan kesemua projek dapat dilaksanakan dalam tahun semasa khususnya 52 projek di negeri Sabah,” katanya.

Katanya, KPM memberi keutamaan kepada projek sekolah daif dan menekankan 122 projek di seluruh negara termasuk 52 di Sabah mesti dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau bagaimanapun mengakui, jumlah itu belum menyelesaikan sepenuhnya isu sekolah daif di Sabah dan seluruh negara memandangkan ada lebih 400 lagi sekolah daif di Sabah dan 1,400 di seluruh negara masih memerlukan perhatian. – Info X