Search

Pusat hiburan tanpa lesen di Penampang digempur

October 21, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Tindakan sebuah pusat hiburan di Penampang Point, di sini beroperasi tanpa lesen mengundang padah apabila digempur polis, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu kira-kira jam 1 hingga 4 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam operasi itu seramai 74 pengunjung di pusat hiburan berkenaan diperiksa.

“Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun iaitu pengurus pusat hiburan berkenaan di atas kesalahan premis beroperasi hiburan awam tanpa lesen.

“Hasil ujian air kencing terhadap semua individu terbabit didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen diserbu polis dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi.

Sammy berkata, polis turut merampas peralatan muzik milik premis berkenaan.

“Individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Hiburan 1958,” katanya.

Pasukan polis memeriksa pengunjung pusat hiburan berkenaan dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi.

Sementara itu, Sammy berkata pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya mendapatkan lesen.

“Pengusaha diminta supaya mendapatkan lesen hiburan awam dan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – Info X