Search

Pusat refleksologi tawar pelacur diserbu, 9 wanita warga asing ditahan

July 15, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan wanita warga asing dalam serbuan ke atas sebuah pusat refleksologi yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran menerusi Op Noda di sebuah bangunan di Jalan Coastal, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, turut menahan seorang lelaki disyaki menjadi pengurus aktiviti pelacuran berkenaan.

Ketika serbuan, polis menahan seorang lelaki disyaki pelanggan dan 20 pekerja terdiri daripada seorang lelaki dan 19 wanita warga asing.

Hasil dokumentasi, seramai 10 wanita dibebaskan kerana memiliki jaminan pasport atas syarikat berkenaan.

Seterusnya, pemeriksaan lanjut menahan sembilan wanita berusia 20 hingga 40 tahun kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di premis berkenaan.

Turut ditahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga pengurus dan seorang wanita berusia 20 tahun sebagai juruwang di premis berkenaan.

Pegawai dan anggota serbuan D7 IPK Sabah melakukan pemeriksaan di premis berkenaan selepas disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas satu botol losyen berisi pelincir, pasport, dan satu peket kondom yang belum digunakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, pengurus lelaki yang ditahan juga disyaki mengurus aktiviti pelacuran di dalam pusat refleksologi berkenaan.

“Seramai sembilan wanita berasal dari China, Thailand dan Filipina ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran dan menyalahgunakan pasport dengan bekerja sebavai tukang urut di pusat refleksologi berkenaan.

“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti pelacuran diminta tampil menyalurkan maklumat membantu polis. – Info X