Search

Bot karam di Semporna, kanak-kanak ditemui lemas, seorang masih hilang

July 14, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Kanak-kanak lelaki ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Nusa Tengah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Nasirin Katibin, 7, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noorjali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.

“Seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah bot Kevlar digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Laporan mendapati kejadian berkenaan membabitkan sebuah bot yang dinaiki dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berusia tujuh tahun karam selepas dipukul ombak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dua lelaki iaitu bapa kedua-dua kanak-kanak terbabit Katibin Husni, 28, dan Ampir Gopek,25, berjaya diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM).

Pasukan penyelamat giat menjalankan operasi menyelamat seorang lagi kanak-kanak yang masih hilang dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Nusa Tengah, Semporna. – Foto/Bomba

“Bagaimanapun, seorang kanak-kanak terbabit ditemukan lemas dan seorang lagi masih hilang.

“Pasukan bomba bersama agensi lain kemudian menjalankan operasi pencarian seluas 3.225 Batu Nautika dari lokasi bot dilaporkan karam,” katanya.

Noorjali berkata, setakat ini mangsa yang hilang masih belum ditemukan dan operasi ditangguhkan pada jam 4.50 petang tadi.

“Operasi akan disambung pada esok pagi dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X