KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) memberi tumpuan kepada penggunaan sistem digital dalam urusan perniagaan syarikat sejajar perubahan ke arah mengukuhkan operasinya.
Pengerusinya, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata QSB melaksanakan perubahan dengan apa-apa cadangan perniagaan kini dibuat secara sistem digital hingga ke proses kelulusan di peringkat pengurusan tertinggi syarikat.
“Lebih penting lagi, semua kakitangan Qhazanah mesti mempunyai pengetahuan mengenai penggunaan komputer dan sistem digital..ini saya tekankan.
“Justeru itu, kita akan sentiasa adakan kursus yang bersangkut paut dengan perubahan di dunia dan mestilah kita amalkan demi kebaikan syarikat.
“Kita tidak boleh bergantung dengan cara lama dan saya tekankan bahawa kita mesti boleh berubah, adaptasi keadaan baharu agar Qhazanah mampu bertahan dengan keadaan baharu,” katanya ketika menutup Minggu Inovasi QSB, di sini, kelmarin.
Minggu Inovasi QSB dilaksanakan selama lima hari, berakhir semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QSB Rudy Jaglul; Ketua Pegawai Strategik dan Pelaburan QSB, Muhamis Marsadek dan beberapa Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat.
Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, semua warga Qhazanah perlu menyesuaikan diri untuk keperluan dalam semua urusan syarikat itu dengan matlamat keseluruhan untuk memperbaiki perniagaan Qhazanah. – Info X