KOTA KINABALU: Program Ramadan Jazz yang menggabungkan elemen muzik dakwah, tazkirah dan amal kembali menyemarakkan aktiviti Ramadan di Sabah pada tahun ini.
Acara anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijadual diadakan pada 14 Mac depan di Kompleks Sukan Likas, di sini.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata program berkenaan sebelum ini pernah diadakan di Sandakan dan dilihat sesuai sebagai aktiviti dakwah dalam konteks Malaysia Madani.
Katanya, penganjuran program itu yang dijangka menampilkan penceramah dan artis dakwah tempatan dan luar sebelum ini mendapat reaksi positif serta sokongan menteri agama, Senator Dr Zulkifli Hasan.
“Program sebelum ini pernah dihadiri Zulkifli, iaitu ketika beliau masih Timbalan Menteri dan pada masa itu dia nampak di sebalik Ramadan Jazz itu ada kekuatan dalam proses membangunkan masyarakat Madani iaitu hubungan yang sangat akrab, untuk melahirkan masyarakat yang memiliki ihsan, kasih sayang dan semangat bekerjasama, khususnya golongan belia.

“Kebiasaannya pada bulan Ramadhan ini, fokus beribadah ini di masjid ataupun di pondok, surau dan sebagainya, tetapi ini satu percubaan di lapangan yang terbuka, di mana gabungan antara muzik dengan seni muzik dalam konteks dakwah diterjemahkan.
“Pengisian program ini ialah berkaitan dengan hubungan masyarakat, iaitu ada program bubur lambuk yang akan diserahkan kepada umum dan ada ceramah, tazkirah ringkas di samping muzik lagu dakwah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mengenai program itu, di SICC, di sini, pada Isnin.
Program itu, katanya dilaksanakan di bawah Belia USIA yang diketuai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar.
Sepanjang program yang bermula jam 4 petang hingga 9.30 malam itu, katanya turut diselitkan dengan aktiviti amal pemberian sumbangan kepada golongan asnaf.
Mengenai sambutan sebelum ini, Sapawi berkata program itu menerima maklum balas yang baik daripada masyarakat, malah turut menarik perhatian pelancong.
“Sekitar dua tahun itu sambutan menggalakkan, bukan hanya Muslim, tapi turut dihadiri orang lain termasuk pelancong kerana diadakan di tengah bandar.
“Program ini ada dakwah dan semangat kesatuan, kita faham Sabah ada kelainan dengan penglibatan bukan Islam waktu sungkai dan sahur, turut menyemarakkan bersama, termasuk di bazar Ramadan.
“Ramadan Jazz, inilah intisarinya, dalam konteks Madani ada ikatan saudara, kasih sayang dapat dijelmakan dan menteri berbesar hati perkara ini dibesarkan ke peringkat negeri dan USIA menjadi penggerak,” katanya.
Bagi program kali ini, Sapawi berkata pihaknya menjangkakan kira-kira 1,500 orang bakal memeriahkan program itu nanti. – Info X